'Tak guna pegang jawatan kalau tak boleh selesai masalah rakyat'

Bung Moktar Radin
Bung Moktar Radin
A
A
A

KOTA KINABALU - Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mahu masalah yang dihadapi rakyat berhubung gangguan bekalan air terutama di kawasan perumahan dapat diselesaikan segera.

Timbalan Ketua Menteri itu menegaskan, masalah yang dihadapi di kawasan perumahan di Sandakan sudah dimaklumkan kepada pihak Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) daerah itu untuk tindakan selanjutnya.

"Bagi menyelesaikan masalah air di kawasan perumahan di Sandakan, saya meminta pihak JANS di Sandakan menyelesaikan masalah ini dengan segera.

"Sebab tidak baik, kalau boleh diselesaikan, kita selesaikan. Sebab tugas kita ini mempermudahkan rakyat bukan menyusahkan rakyat.

"Saya lain, kalau boleh diselesaikan hari ini, saya kata selesaikan ini hari. Jangan tangguh lagi, kalau tangguh lagi, susah kita. Tidak ada guna kita pegang jawatan kalau tidak boleh selesai masalah rakyat," katanya ketika menjawab soalan tambahan Calvin Chong Ket Kiun (Bebas-Elopura) mengenai gangguan bekalan air di Jalan Aman, Sandakan yang berlarutan beberapa minggu.

Jelasnya lagi, gangguan bekalan air ini memang berlaku di seluruh negeri terutama di Sepanggar, Sandakan, Lahad Datu, Beaufort dan Tawau.

"Saya telah mengarahkan pihak JANS dan mereka telah mengadakan pelbagai bengkel untuk mengatasinya (masalah air).

"Sebenarnya, hala tuju air Sabah sudah ada dan telah dibentangkan di Kabinet dan saya akan bentang dalam penggulungan nanti bagaimana hala tuju itu dilaksanakan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, bagi menjawab soalan tambahan daripada George Hiew (Warisan-Karamunting) berhubung alat ganti pam di Loji Rawatan Air (LRA) Segaliud, Sandakan, Bung Moktar berkata, JANS sudah diarah memastikan setiap LRA dibekalkan alat ganti dan pam tunggu sedia.

"Pihak kementerian telah memutuskan supaya semua loji-loji ini mempunyai alat ganti yang sedia ada, saya telah meminta Pengarah Jabatan Air beli lebih awal dan simpan (alat ganti).

"Sebab ini masalah yang berlaku di mana-mana, di Beaufort, Talibong, Sandakan, Tawau, Lahad Datu (loji). Bagaimanapun dia (pengarah) memaklumkan bahawa alat ganti ini bukan murah, beratus ribu (harga), kena cari duit dan perolehan perlu dibuat dan berbincang dengan kewangan kerana prosedur," katanya.