Malaysia jamin kemasukan pekerja asing lebih tersusun

Kemasukan pekerja asing akan lebih terjamin dengan blok rantai dan ekosistem yang disediakan. - Gambar hiasan
Kemasukan pekerja asing akan lebih terjamin dengan blok rantai dan ekosistem yang disediakan. - Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Malaysia memberi jaminan proses kemasukan pekerja asing mulai 1 April depan lebih teratur dan tersusun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata, ia susulan pemeteraian perjanjian program pengurusan pekerja asing antara panel hotel kuarantin dan anak syarikat Hong Seng Consolidated Berhad, eMedAsia.

"Kemasukan pekerja asing ini akan lebih terjamin dengan blok rantai dan ekosistem yang disediakan," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan pemeteraian perjanjian tersebut, dekat sini pada Selasa.

Menurutnya, program tersebut mampu memulihkan imej negara selepas negara ditohmah dengan isu layanan terhadap golongan itu selain pemerdagangan manusia.

"eMedAsia akan melakukan pra saringan melibatkan pengurusan dan integrasi dengan sistem kerajaan, eCovid, saringan Covid-19 sebaik sahaja pekerja asing tiba dengan menyediakan petugas kesihatan yang bertauliah, pengusian sampel dan isolasi bagi kes positif," katanya.

Beliau berkata, sebanyak 400 panel hotel yang terlibat akan dijadikan pusat kuarantin pekerja asing.

"Mereka mempunyai platform dan kepakaran bagi memberi perkhidmatan mengikut prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya.

Dr Abdul Latiff berkata, setakat ini, seramai 300,000 pekerja asing telah berdaftar untuk memasuki negara ini.

Artikel Berkaitan:

"Mereka akan masuk secara berperingkat di semua pintu masuk antarabangsa," katanya.

Ditanya adakah kos tersebut ditanggung oleh kerajaan, beliau berkata, program tersebut hanya melibatkan sektor swasta.

"Ini adalah B2B dan kos akan ditanggung sepenuhnya oleh majikan. Kita harap ia adalah berpatutan," katanya.

Mesyuarat Jemaah Menteri pada 10 Disember tahun lalu bersetuju pengambilan pekerja warga asing dalam sektor dibenarkan bagi penggajian pekerja asing.

Setakat 1 Mac, sebanyak 171,133 permohonan penggajian pekerja asing diterima sejak dibuka bermula 15 Februari lalu.