Pasang lima siren amaran banjir kilat di KL

Jalaluddin
Jalaluddin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak lima siren amaran akan dipasang di sekitar ibu negara sebagai usaha memberi amaran awal kepada orang ramai mengenai kemungkinan berlaku banjir kilat.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, kerja-kerja awal telah dilakukan di lima kawasan yang dikenal pasti iaitu Lorong Kiri Keramat 15, Terowong Chan Sow Lin, Taman U-Thant, Jalan Sembilan di Kampung Cheras Baru dan Sungai Kayu Ara.

”Sistem siren amaran tersebut merupakan antara inisiatif Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menambah aset bagi pengurusan bencana banjir di samping pemasangan tambahan 51 kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan ‘hotspot’ banjir dengan 13 daripadanya telah siap dipasang.

"Kita maklum Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir (Terowong Smart) dapat membantu mengurangkan atau mencegah berlakunya banjir kilat tetapi itu tidak boleh menampung (semua) kawasan di Kuala Lumpur.

"Disebabkan itu, DBKL mengambil beberapa pendekatan untuk berikan sistem amaran awal kepada masyarakat dan warga kota tentang kemungkinan banjir kilat yang boleh mendatangkan kerugian kepada kerajaan dan rakyat,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Che Abdullah Mat Nawi (Pas-Tumpat) berhubung keberkesanan Terowong Smart di ibu kota menangani masalah banjir kilat.

Sementara itu bagi menjawab soalan tambahan Hannah Yeoh (PH-Segambut) sama ada pasukan Jabatan Kejuruteraan Awam dan Saliran DBKL akan diperbesarkan, Jalaludin menjelaskan, pihaknya sedang meneliti untuk menambah kekuatan pasukan itu bagi menjalankan tugas pemantauan cerun dan kawasan berbukit.

Katanya, ketika ini terdapat 3,441 kawasan berbukit dan cerun di Kuala Lumpur yang perlu dipantau dengan hanya memiliki kekuatan kira-kira 300 orang.

Sebelum ituu ketika menjawab soalan asal Nik Nazmi Nik Ahmad (PH-Setiawangsa) mengenai kesiapsiagaan Kuala Lumpur berhadapan kesan iklim yang semakin ekstrem termasuk banjir dan tanah runtuh dalam tempoh 20 tahun akan datang, Jalaluddin menegaskan, DBKL menjadikan syarat kelulusan Jabatan Pengairan Saliran Kuala Lumpur sebagai syarat wajib bagi setiap kelulusan Perintah Pembangunan.

Artikel Berkaitan:

"DBKL menetapkan syarat Perintah Pembangunan (DO) kepada pemaju untuk mematuhi keperluan penyediaan infrastruktur yang lengkap.

"Antaranya Laporan TIA (Laporan Penilaian Kesan Trafik) di bawah Jabatan Perancangan Infrastruktur DBKL dan EIA (Penilaian Kesan Alam Sekitar) bawah Jabatan Alam Sekitar, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA),” katanya.