KPPK cadang tubuh lembaga atau jawatankuasa kawal harga baja, racun

KPPK mencadangkan penubuhan sebuah lembaga atau jawatankuasa untuk mengawal harga baja dan racun pertanian. - Gambar hiasan
KPPK mencadangkan penubuhan sebuah lembaga atau jawatankuasa untuk mengawal harga baja dan racun pertanian. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) mencadangkan penubuhan sebuah lembaga atau jawatankuasa untuk mengawal harga baja dan racun pertanian.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Willie Mongin berkata, kerajaan perlu melihat untuk mewujudkan lembaga atau jawatankuasa bagi berbincang dengan negara-negara pengeluar sumber bahan mentah untuk membuat baja dalam mendapatkan harga racun dan baja yang lebih baik.

"Walaupun harga tandan buah segar meningkat, harga input pertanian seperti baja dan racun turut meningkat. Bagaimanapun, kita tidak boleh mengawal harga racun dan baja kerana itu adalah masalah global.

"Saya akui kita memang perlu melakukan sesuatu tetapi di peringkat kementerian, kita tidak boleh melaksanakannya seorang diri. Ia memerlukan sokongan dan campurtangan kerajaan untuk melihat perkara ini dengan lebih komprehensif,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau menjawab soalan tambahan daripada Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) mengenai kenaikan harga baja dan racun secara mendadak dan langkah-langkah yang akan dilaksanakan kerajaan untuk memastikan harga baja stabil.

Terdahulu, Willie berkata, harga minyak sawit mentah meningkat sebanyak 64.1 peratus kepada RM4,407 setan pada 2021 berbanding RM2,685.50 setan pada 2020 dengan harga purata bulanan tertinggi dalam sejarah industri sawit telah direkodkan pada RM5,930.50 setan yang dicapai pada Februari lepas.

Beliau berkata, harga terkini pada 21 Mac 2022 adalah sebanyak RM6,351.50 setan dan harga minyak sawit mentah dijangka akan kembali stabil kepada RM3,500 hingga RM4,500 setan pada tahun ini.

Katanya, KPPK akan mengambil langkah strategik untuk menstabilkan harga komoditi tersebut termasuk melancarkan kontrak niagaan hadapan minyak sawit mentah khususnya kepada Sabah dan Sarawak yang dijangka turut dapat meningkatkan permintaan terhadap produk minyak sawit melalui mengukuhkan pasaran sedia ada seperti Pakistan dan Turki.

Artikel Berkaitan:

"Harga minyak sawit yang tinggi pada masa ini adalah disebabkan gangguan yang berlaku terhadap bekalan minyak sayuran dunia seperti minyak kacang soya dan minyak sawit,” katanya. - Bernama