Medan eksperimen Harimau Malaya

Skuad Harimau Malaya menjalani latihan di Stadium Nasional, Bukit Jalil minggu lalu. -Foto FB FAM
Skuad Harimau Malaya menjalani latihan di Stadium Nasional, Bukit Jalil minggu lalu. -Foto FB FAM
A
A
A

PENGENDALI baharu Harimau Malaya, Kim Pan-gon harus diberikan ruang dan masa secukupnya bagi mencari formula terbaik dalam mengembalikan ‘ngauman’ Harimau Malaya di pentas antarabangsa.

Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan berkata, tiga aksi persahabatan di Singapura tidak harus dijadikan ‘kayu pengukur’ dalam menentukan prestasi jurulatih dari Korea Selatan itu.

Malah, Sathianathan berpandangan tiga perlawanan itu yang bakal menjadi ujian sulung Pan-gon lebih kepada penilaian awal terhadap barisan pemain yang dipilih bagi memperkuat Harimau Malaya kali ini.“Saya tidak terkejut jika pasukan kebangsaan gagal menghasilkan keputusan positif di Singapura nanti. Bukan satu tugas mudah untuk menerapkan corak permainan yang diinginkan dalam masa singkat.

“Saya nampak tiga perlawanan persahabatan di Singapura ini lebih kepada untuk Pan-gon bereksperimen mencari taktikal yang sesuai untuk diguna pakai pada Kelayakan Piala Asia Jun depan.

“Dengan adanya tiga perlawanan ini, barulah beliau dapat kenal pasti siapa pemain yang sesuai dengan taktikalnya. Sebab kita perlu faham main dengan kelab berbeza ketika bersama pasukan kebangsaan.

“Jika keputusan tidak bagus, itu kita kena terima. Tapi selepas itu, Pan-gon perlu menilai semula prestasi setiap pemain sebab kita ada misi besar untuk layak ke Piala Asia,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

Untuk rekod, Malaysia dijadual menentang Filipina pada Rabu ini sebelum berdepan Singapura (Sabtu) dengan kedua-dua aksi itu berstatus perlawanan Persahabatan Antarabangsa Tier 1.

Selepas menentang Filipina dan Singapura, Harimau Malaya akan menamatkan siri aksi persahabatan di Singapura bertemu kelab Liga Singapura, Albirex Niigata FC pada 28 Mac.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Sathianathan berharap peminat bola sepak tempatan tidak menghukum Pan-gon terlalu awal sekiranya Harimau Malaya gagal menjelmakan keputusan positif dalam tiga perlawanan tersebut.

“Peminat kena faham, untuk tiga perlawanan persahabatan itu, jangan terlalu berharap Pan-gon dapat memberikan keputusan positif kepada pasukan kebangsaan.

“Beri beliau masa melakukan perubahan kepada pasukan kebangsaan. Nak buat perubahan ini bukan senang, perlu ambil masa, lagi pun beliau masih baru membimbing pasukan kebangsaan.

“Jadi harap semua peminat dan penyokong Malaysia dapat bersabar dan jangan terus jatuh ‘hukum’ sekiranya pasukan kebangsaan gagal mencapai keputusan positif di Singapura nanti,” jelasnya.