Maritim Malaysia rampas 46 set bubu naga di perairan Perlis

Maritim Malaysia merampas 46 bubu naga di kedudukan kira-kira 0.6 batu nautika dari barat pantai Kurung Tengar, Perlis pada petang Sabtu.
Maritim Malaysia merampas 46 bubu naga di kedudukan kira-kira 0.6 batu nautika dari barat pantai Kurung Tengar, Perlis pada petang Sabtu.
A
A
A

KANGAR - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Perlis merampas 46 bubu naga di kedudukan kira-kira 0.6 batu nautika dari barat pantai Kurung Tengar dekat sini petang Sabtu.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata, bubu berukuran lebih kurang 10 meter panjang itu dikesan pada jam 5.15 petang menerusi rondaan Op Aman.

"Pasukan bot ronda Maritim Malaysia melihat kain-kain berwarna merah mencurigakan terapung di permukaan air yang diikat pada pancang-pancang kayu disyaki penanda bubu naga dipercayai dipasang oleh individu atau kumpulan tidak bertanggungjawab.

"Berikutan itu, pasukan bot ronda Maritim Malaysia melakukan pemeriksaan dan menemukan banyak bubu naga ditinggalkan di kawasan tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, kesemua bubu naga yang dianggar bernilai RM3,680 itu dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis untuk tindakan lanjut.

"Pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan dan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan,” katanya.

Mohd Hashim berkata, penggunaan bubu naga diharamkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia mulai 1 November 2018 kerana sifatnya yang selektif dan boleh merosakkan ekosistem perairan serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan lain. - Bernama

Artikel Berkaitan: