Boro tetap bangga walaupun tewas

Pemain Middlesbrough tidak memberikan kemenangan mudah kepada Chelsea. - Foto Thebharatexpressnews.com
Pemain Middlesbrough tidak memberikan kemenangan mudah kepada Chelsea. - Foto Thebharatexpressnews.com
A
A
A

BIARPUN gagal mara ke separuh akhir Piala FA setelah tewas 0-2 kepada Chelsea pada Ahad, kesebelasan Middlesbrough masih boleh berbangga dengan pencapaian skuad berkenaan pada saingan kalah mati kali ini.

Menurut pengendali Boro, Chris Wilder berkata, kekalahan itu juga telah membuktikan bahawa skuad kendaliannya mampu memberikan saingan sengit kepada ‘barisan bintang’ The Blues hingga ke wisel penamat.

Wilder - Foto Getty Images
Wilder - Foto Getty Images

“Bagi saya, kesemua pemain telah berusaha bermati-matian di sepanjang perlawanan. Anda boleh saksikannya kami mengikat Manchester United 1-1 di Old Trafford pada pusingan keempat 5 Februari (Boro mara menerusi penentuan sepakan penalti 8-7) dan juga ketika kami menewaskan Tottenham Hotspur, 1-0 bagi pusingan kelima, Mac lalu.

“Kali ini, kami memberikan perlawanan yang sukar pula kepada Chelsea. Pastinya semua ini tidak mudah untuk dilakukan namun pemain kami telah membuktikannya dan ia merupakan pencapaian yang cukup membanggakan.

“Secara keseluruhan, semua kejayaan ini terhasil daripada kerja keras pemain, staf di kelab ini selain penyokong yang sentiasa memberikan sokongan padu kepada kami dalam apa juga keadaan,” katanya.

Pada aksi di Riverside itu Chelsea membuka jaringan menerusi tonggak serangan, Romelu Lukaku pada minit ke-15 sebelum pemain Belanda, Hakim Ziyech menyumbat gol kedua pada minit ke-31.

Bagaimanapun jentera serangan The Blues gagal menambah jaringan hingga tamat perlawanan apabila kesebelasan Boro dilihat semakin memperkemaskan benteng pertahanan selain melakukan beberapa percubaan bahaya ke pintu gol.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Wilder mengakui agak kecewa dengan kekalahan berkenaan kerana mengharapkan Boro mampu meneruskan ‘kejutan’ sebagaimana yang dilakukan pada perlawanan-perlawanan terdahulu.

Bagaimanapun katanya, pemain-pemain telah memberikan aksi terbaik ketika berdepan Chelsea dan diharapkan prestasi sedemikian berterusan bagi memastikan lebih banyak kejayaan dapat dikecapi selepas ini.

“Bagi saya semua pemain telah beraksi dengan baik dan secara keseluruhannya, kami tidak memberikan kemenangan mudah kepada Chelsea kali ini,” katanya.