Hakim Danish ungguli pusingan pertama Asia Talent Cup di Indonesia

Hakim Danish (tengah) berjaya menjuarai perlumbaan pertama Kejuaraan Asia Talent Cup (ATC) 2022 yang berlangsung di Lombok, Indonesia pada Sabtu. - Foto Twitter Ahmad Faizal
Hakim Danish (tengah) berjaya menjuarai perlumbaan pertama Kejuaraan Asia Talent Cup (ATC) 2022 yang berlangsung di Lombok, Indonesia pada Sabtu. - Foto Twitter Ahmad Faizal
A
A
A

PELUMBA motosikal muda sensasi negara Hakim Danish Ramli berjaya menjuarai perlumbaan pertama Kejuaraan Asia Talent Cup (ATC) 2022 yang berlangsung di Lombok, Indonesia pada Sabtu.

Pelumba berusia 15 tahun itu mengungguli perlumbaan di Mandalika International Street Circuit melibatkan 16 pusingan sejauh 68.816 kilometer (km) dengan catatan masa 28 minit 8.357 saat (s).

Kepantasan itu meninggalkan pelumba Jepun Shinya Ezawa di tempat kedua (28:24.034s) dan wakil tuan rumah Reykat Fadillah di tempat ketiga yang merakamkan masa 28:24.226s.

Kejayaan dicipta pelumba kelahiran Terengganu itu mendapat perhatian Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang menzahirkan ucapan tahniah atas pencapaian membanggakan itu.

"Tahniah pelumba cilik negara Hakim Danish yang berjaya menduduki tempat pertama bagi pusingan pertama ATC di Litar Mandalika. Jalur Gemilang berkibar megah!" katanya menerusi ciapan di laman Twitter rasminya.

Sementara itu, pasukan ZK Racing yang sebelum ini membimbing pelumba muda itu, menerusi hantaran di laman Facebook berkata, perlumbaan itu ditayangkan pada skrin gergasi di Karnival Belia dan Sukan di Ipoh, Perak dan disaksikan bersama-sama pengunjung karnival tersebut.

"Kami semua di Karnival Belia dan Sukan @kbsmalaysia bersama-sama berdiri menyanyikan Negaraku demi kemenangan Danish. Tahniah!” menurut hantaran itu. - Bernama

Artikel Berkaitan: