UMNO tidak tekan PM bubar Parlimen: Ahmad Zahid

Ismail Sabri (dua dari kiri) dan Ahmad Zahid (kiri) pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 pada Sabtu. - Foto Bernama
Ismail Sabri (dua dari kiri) dan Ahmad Zahid (kiri) pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan parti itu tidak memberi tekanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam isu pembubaran Parlimen.

Sebaliknya beliau berkata, parti yang diterajuinya tetap menghormati keputusan yang akan dibuat kabinet memandangkan jemaah menteri yang ada dalam kerajaan ketika ini terdiri daripada pemimpin pelbagai parti.

“Kami menghargai bahawa soal memahami peraturan yang ada terutamanya (ia termaktub dalam) Perlembagaan dan (apa-apa) keputusan yang harus diambil oleh kabinet (tentang bubar Parlimen) itu akan dibawa oleh Perdana Menteri untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Maka tentunya dengan kebijaksanaan Perdana Menteri, saya tidak nampak ada permasalahan besar jika secara konsensus, jika kabinet mengambil ketetapan sebagaimana yang akan disampaikan Perdana Menteri apabila beliau mempengerusikan mesyuarat Kabinet nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas selepas menggulung perbahasan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) di sini pada Sabtu.

Menyentuh mengenai ‘time frame’ untuk Perdana Menteri mengambil keputusan, Ahmad Zahid berkata, beberapa perkara dalam memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan kestabilan Politik antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) yang ditandatangani tahun lalu perlu dipertimbangkan kembali.

Jelasnya, UMNO secara asas memang hormati MoU tersebut, namun dalam masa sama terdapat beberapa perkara tertentu perlu dibuat dalam aspek pertimbangan politik dan ia memerlukan budi bicara oleh Perdana Menteri.

“Tapi bagi rakyat, yang pentingnya desakan (untuk adakan PRU15) bukan datang daripada UMNO, cuma UMNO menyarankan berdasarkan faktor dalaman dan luaran parti,” katanya.

Artikel Berkaitan: