Gunting rambut percuma bantu ibu bapa berjimat

Kelihatan kanak-kanak sabar menunggu giliran untuk menggunting rambut secara percuma.
Kelihatan kanak-kanak sabar menunggu giliran untuk menggunting rambut secara percuma.
A
A
A

SEREMBAN - Sesetengah ibu bapa beranggapan bayaran RM10 sehingga RM15 untuk menggunting rambut anak-anak mereka mungkin tidak menjadi masalah.

Begitupun ada segelintir mereka terpaksa mendahulukan 'bajet' tersebut untuk urusan lain yang dirasakan lebih penting.

Perkara itu seorang bapa, Zainal Abu Bakar, 29, ketika ditemui pada program Gunting Rambut Percuma anjuran Masjid Arraudah Kariah Taman Rasa Sayang dan Persatuan Cakna Taman Rasa Sayang di kabin masjid itu pada Sabtu.

Menurutnya, dia perlu memperuntukkan RM40 untuk empat anak lelakinya bagi menggunting rambut dan kebiasaannya dilakukan sendiri di rumah.

"Tapi bila saya yang gunting rambut mereka, biasalah anak-anak tak puas hati, kata tak cantik dan mahu gunting di kedai.

"Jadi bila ada program macam ini baguslah boleh bantu ibu bapa berjimat," katanya kepada Sinar Harian.

Kakitangan swasta, Zunaidah Mohamad Razali, 36, berkata, tiga anaknya berusia antara enam hingga 11 tahun bersemangat menggunting rambut kerana tidak sabar mahu pergi ke sekolah.

Katanya, walaupun situasi persekolahan sekarang tidak menentu susulan pandemik Covid-19, namun persediaan anak-anak untuk ke sekolah tetap diberi keutamaan.

Artikel Berkaitan:

"Baguslah bila ada program sebegini dianjurkan kerana dapat membantu ringankan beban ibu bapa untuk membuat persediaan anak-anak ke sekolah," katanya.

Sementara itu, ketua program, Zulkifli Muhamed berkata, program yang memasuki tahun ketujuh dianjurkan itu sentiasa mendapat permintaan menggalakkan daripada murid sekolah dan juga ibu bapa mereka sendiri.

Menurutnya, dalam tempoh dua hari dianjurkan sebelum ini, mereka pernah mendapat kehadiran seramai 130 peserta termasuk dari luar kawasan Senawang.

"Tahun ini kita turut tawarkan khidmat gunting rambut percuma untuk perempuan dan telah terima 30 peserta.

"Saya tak nafikan program sebegini mungkin dilihat kecil oleh setengah pihak, bagaimanapun ia sebenarnya sangat membantu dalam kalangan ibu bapa terutama dari keluarga berpendapatan rendah dan mempunyai anak ramai," ujarnya.

Beliau berkata, dalam tempoh tiga hari program itu dianjurkan, lebih 150 peserta tidak melepaskan peluang mendapatkan khidmat gunting rambut secara percuma.

Pada masa sama katanya, usaha itu juga sedikit sebanyak dapat membantu ekonomi tukang gunting rambut apabila jalinan kerjasama dilakukan bagi menjayakan program terbabit.