Cara jimat guna pendingin hawa ketika musim panas: TNB

A
A

KUALA LUMPUR - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menasihatkan pengguna mengamalkan penggunaan pendingin hawa secara bijak ketika cuaca panas ini yang dijangka sehingga Mei, kerana ia boleh mengakibatkan atau menjurus kepada penggunaan tenaga yang tinggi.

TNB dalam kenyataan berkata, antara langkah-langkah menjimatkan penggunaan tenaga, terutama pendingin hawa yang mudah dipraktikkan adalah melaraskan suhu sistem pendingin hawa di antara 24 ke 26 darjah celsius.

“Menukar atau membersihkan penapis pendingin hawa dengan kerap untuk memaksimumkan potensi penyejukan unit tersebut. Penapis yang kotor menghalang edaran udara dan mengurangkan kecekapan pendingin hawa.

“Selain itu, menyenggara pendingin hawa secara kerap juga boleh membantu beroperasi pada tahap optimum. Tutup semua pintu dan tingkap serta lubang edaran udara untuk memastikan udara sejuk tidak keluar dari bilik.

“Pada waktu malam, pasang kipas dan tetapkan masa untuk pendingin hawa dipadamkan. Selalunya suhu bilik akan mencecah tahap yang selesa selepas beberapa jam pendingin hawa dipasang. Namun, kos menggunakan kipas adalah lebih murah selain membantu pengedaran udara di dalam bilik,” katanya.

TNB juga berkata, pengguna digalakkan untuk menggantikan pendingin hawa yang lama kerana ia tidak lagi cekap setelah bertahun-tahun digunakan.

“Pengguna yang ingin membeli pendingin hawa baharu pula dicadangkan supaya memilih model yang mempunyai bilangan bintang kecekapan tenaga paling tinggi. Lebih banyak bintang bermaksud peralatan tersebut lebih cekap tenaga.

“Pemilihan saiz dan jenis pendingin hawa yang tepat iaitu bersesuaian dengan saiz ruang bilik juga penting. Ia kerana kapasiti kuasa kuda (horsepower) pendingin hawa yang terlebih besar bukan sahaja lebih mahal untuk dibeli dan dipasang, malah menggunakan tenaga elektrik yang lebih tinggi,” katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia