X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 27 Jun 2022

Pemuda UMNO cadang pinda perlembagaan pemilihan parti

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki (depan, kiri) pada Perhimpunan Agung Pergerakan Sayap Pemuda di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada Khamis. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Pemuda UMNO mencadangkan agar perlembagaan berhubung pemilihan parti itu dipinda.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pemilihan parti seharusnya diadakan hanya selepas setiap kali Pilihan Raya Umum (PRU).

"Usah hanyut dalam gelora pemilihan parti. Mula kembali budaya bobrok lama membawa rombongan ke sana sini, menyusun jentera, membuat pelbagai gerakan untuk mencatur dan menjatuhkan sesama sendiri.

"Ingatlah, jika bahtera kita karam buat kali kedua, jawatan parti pun sudah tidak bernilai lagi.

"Pemuda ingin mengusulkan kepada pimpinan tertinggi dan Perhimpunan Agung UMNO agar membuat pindaan perlembagaan parti supaya pemilihan parti diadakan hanya selepas setiap kali PRU.

"Ini bagi mengelakkan sebarang usaha untuk memporak-perandakan, melemahkan kesepaduan dan kekuatan parti," katanya dalam ucapan dasar pada persidangan perwakilan pergerakan itu bersempena Perhimpunan Agung UMNO 2021 pada Khamis.

Dalam pada itu, Pemuda turut mencadangkan tiga agenda transformasi terhadap institusi dan penjernihan budaya politik negara yang harus disegerakan.

Beliau berkata, fungsi pendakwa raya harus dikeluarkan daripada peranan Peguam Negara bagi menjamin kebebasan fungsi dan peranan pendakwa raya yang kini berada di bawah Jabatan Peguam Negara.

"Atas prinsip keadilan dan mengelakkan daripada konflik kepentingan terutamanya menyentuh pendakwaan politik terpilih, seorang Peguam Negara yang dilantik atas nasihat Perdana Menteri tidak wajar menasihati kerajaan dan pada masa sama menggunakan kuasa bagi melakukan pendakwaan," katanya.

Beliau turut mendesak agar Akta Anti Lompat Parti dibahas dan diluluskan segera.

"Undang-undang ini adalah satu keperluan bagi memastikan rakyat kembali percaya kepada sistem demokrasi negara.

"Rakyat mesti diberikan keyakinan semula bahawa undi mereka bukanlah sia-sia," katanya.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi turut menggesa agar kerajaan segera membentangkan Akta Pendanaan Politik.

Menurutnya, ia bagi memastikan rakyat dapat memastikan tiadanya sebarang unsur rasuah mahupun salah guna kuasa.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!