Jho Low, bapa dihalang lupus aset AS$1.03 bilion dan AS$401.5 juta

Jho Low
Jho Low
A
A
A

KUALA LUMPUR - 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan satu anak syarikatnya memperoleh perintah injunksi daripada Mahkamah Tinggi di sini untuk menghalang ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau ‘Jho Low’, melupus atau mengurangkan nilai mana-mana asetnya di Malaysia berjumlah AS$1.03 bilion.

Berdasarkan dokumen yang diperoleh media menerusi sistem kehakiman, bapa Jho Low, Tan Sri Larry Low Hock Peng turut dihalang daripada mengalihkan, melupus atau mengurangkan nilai mana-mana asetnya di Malaysia berjumlah AS$401.5 juta.

Keputusan itu dibuat Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz dalam prosiding dalam talian semalam, selepas membenarkan permohonan injunksi mareva ex-parte (sebelah pihak) yang dipohon 1MDB dan Global Diversified Investment Company Limited (sebelum ini dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited), yang merupakan plaintif pertama dan kelima dalam kes saman 1MDB terhadap Jho Low, bapanya serta beberapa individu lain.

Injunksi mareva adalah perintah menghalang seseorang daripada melupuskan harta sementara kes sedang berjalan.

Injunksi tersebut juga mengehadkan Jho Low dan bapanya mengeluarkan wang tidak melebihi RM20,000 sebulan setiap seorang, yang diperlukan mereka untuk perbelanjaan sara hidup serta perbelanjaan guaman.

Sekiranya mereka memerlukan lebih daripada jumlah tersebut, mereka perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada peguam 1MDB dan Global Diversified.

Perintah itu juga menyatakan, Jho Low dan bapanya mestilah membuat pendedahan secara bertulis kepada 1MDB dan Global Diversified berhubung aset mereka, masing-masing pada nilai AS$1.03 bilion dan AS$401.5 juta sama ada di dalam atau di luar negara, sama ada di bawah namanya sendiri atau tidak, dan sama ada milikan secara tunggal atau secara bersama defendan lain.

Mereka hendaklah memberikan nilai, lokasi serta segala maklumat aset dan maklumat itu perlu disahkan melalui suatu afidavit, dan disampaikan kepada peguam plaintif pertama dan kelima dalam masa empat belas hari selepas perintah tersebut disampaikan kepada peguam mewakili dua beranak berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Jika keseluruhan nilai bebas daripada gadaian atau apa-apa sekuriti aset-aset Jho Low di negara ini melebihi jumlah AS$1.03 bilion, beliau boleh mengalihkan atau melupuskan aset itu asalkan jumlah nilai tanpa beban kekal berjumlah tidak kurang daripada AS$1.03 bilion, manakala bapanya tidak kurang daripada AS$401.5 juta.

Perintah tersebut juga menyatakan bahawa mana-mana individu dalam prosiding ini atau sebaliknya, yang dimaklumkan mengenai perintah berkenaan tidak seharusnya membantu atau membenarkan pelanggaran perintah, di mana mereka boleh dikenakan tindakan menghina mahkamah jika berbuat demikian.

Perintah itu berkuat kuasa sehingga mahkamah mendengar permohonan injunksi inter-parte (dua pihak) pada 29 Mac.

Seorang peguam, Tetuan Skrine yang mewakili 1MDB ketika dihubungi mengesahkan keputusan mahkamah itu.

Pada 7 Mei 2021, 1MDB dan empat anak syarikatnya iaitu Global Diversified, 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited dan 1MDB Energy (Langat) Limited, memfailkan saman AS$3.7837 bilion terhadap Jho Low; bapanya; ibunya, Puan Sri Goh Gaik Ewe; kakak Jho Low, May Lin; adik lelakinya, Taek Szen serta rakan sekutunya, Eric Tan Kim Loong.

Berdasarkan writ itu, 1MDB menuntut AS$661 juta daripada Jho Low dan masing-masing AS$41 juta, AS$397 juta, AS$608 juta dan AS$1.9 bilion daripada Jho Low dan Tan serta AS$325 juta daripada Jho Low dan ayahnya.

1MDB Global Investments Limited pula menuntut AS$630 juta daripada Hock Peng, Jho Low dan Tan serta AS$2 juta daripada Taek Szen, Jho Low dan Tan.

Plaintif turut menuntut AS$3.5 juta daripada May Lin and Jho Low serta AS$1.695 juta daripada Goh, Jho Low dan Tan berhubung pembelian barang kemas serta keuntungan rahsia selain AS$25.5 juta daripada Jho Low, Tan, Hock Peng dan Taek Szen. - Bernama