Kecoh isu MITRA, Speaker tangguh sidang Dewan Rakyat lima minit

Azhar Azizan - Foto Bernama
Azhar Azizan - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persidangan Dewan Rakyat ditangguh lima minit pada Rabu berikutan kekecohan apabila beberapa ahli Parlimen pembangkang mempertikaikan jawapan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique berhubung isu dana Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).

Keadaan kecoh itu menyebabkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun memutuskan untuk menangguhkan persidangan pada jam 12.50 tengah hari dan disambung semula selepas lima minit.

Isu yang mencetuskan kekecohan itu turut menyebabkan Sivakumar Varatharaju Naidu (PH-Batu Gajah) diarah keluar dewan untuk tempoh 10 minit.

Halimah sebelum itu ketika menggulung perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementerian itu berkata, taklimat Pelan Tindakan Masyarakat India (PTMI) yang dicadang pada 14 Januari ditangguh kepada 22 Mac ini.

"Hari itu, kita cadang tarikh 14 Januari dan sesi itu telahpun ditangguhkan kerana tarikh tersebut adalah sambutan Hari Ponggal. Saya telahpun menghantar surat kepada ketua pembangkang untuk mengadakan taklimat pada 22 Mac sebelum habis sesi kali ini dan ketua pembangkang telah bersetuju," katanya.

Beliau menjelaskan sesi taklimat yang akan diadakan pada Selasa itu adalah berkaitan PTMI dan perkara-perkara bersabit soal siasatan berhubung isu dana MITRA sedang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak akan dibentang dalam taklimat itu.

"Taklimat PTMI pada 22 Mac kita akan bagi taklimat semua tunjang, apa perancangan termasuk perancangan MITRA bagi tahun 2022. Soal berkaitan (keputusan siasatan) SPRM saya tidak boleh jawab, menteri undang-undang akan jawab mewakili SPRM.

"Saya tidak boleh bagi Yang Berhormat maklumat berapa peruntukan, berapa telah dibelanjakan oleh MITRA dan apa pecahannya kerana semua perkara itu telah dimasukkan dalam siasatan oleh pihak SPRM. Kalau Yang Berhormat nak tanya terperinci tentang (siasatan) SPRM tanya menteri berkaitan," katanya.

Penjelasan Halimah itu menimbulkan rasa tidak puas hati beberapa ahli Parlimen pembangkang yang terus mendesak menteri itu untuk memberi jawapan berhubung isu dana MITRA.

Artikel Berkaitan:

M Kulasegaran (PH-Ipoh Barat) berkata, menteri berkenaan seharusnya memberi penjelasan terperinci berhubung isu dana MITRA dan kelewatan untuk mengadakan sesi taklimat itu adalah satu yang mengecewakan.

Sivakumar turut bangun mencelah berkata, beliau juga ingin tahu berkaitan hutang yang telah dibayar menggunakan wang MITRA dan bertanyakan sama ada Halimah akan membentangkan perbelanjaan dilakukan pada 2020 dan 2021.

Halimah kemudiannya berkata, SPRM akan menjelaskan semua persoalan dibangkitkan ahli Parlimen itu sebaik siasatan selesai.

Jawapan Halimah itu bagaimanapun tidak diterima blok pembangkang dan menyebabkan pertikaman lidah antara menteri itu dan ahli-ahli Parlimen pembangkang berlanjutan selama 15 minit sehingga Azhar mengarahkan Sivakumar keluar dewan selama 10 minit selepas berkali-kali meminta ahli Parlimen pembangkang itu duduk.

"Saya nak minta tolong sangat ikutlah peraturan, bila saya tak ikut peraturan pihak pembangkang kata saya tak ikut peraturan tapi pihak pembangkang yang tak ikut peraturan. Menteri dah jawab, waktu ini bukan waktu perbahasan lagi, waktu ini adalah waktu menteri menggulung.

"(Ahli dewan) boleh tanya untuk penjelasan itupun kalau diberi laluan. Menteri dah beri penjelasan terhadap persoalan dibangkitkan tapi Yang Berhormat nak berbahas... tak bolehlah," katanya.

Bagaimanapun, arahan Azhar itu tidak diendahkan oleh blok pembangkang dan terus menerus mendesak Halimah untuk memberi penjelasan menyebabkan Azhar menangguhkan sidang dewan selama lima minit. - Bernama