Setiap hari tunggu menantu diselamatkan...

Bah Kim tidak jemu berulang-alik menyaksikan sendiri usaha pasukan penyelamat membawa keluar menantunya yang terperangkap dalam runtuhan batu kuari di Simpang Pulai.
Bah Kim tidak jemu berulang-alik menyaksikan sendiri usaha pasukan penyelamat membawa keluar menantunya yang terperangkap dalam runtuhan batu kuari di Simpang Pulai.
A
A
A

IPOH - Bapa mentua kepada seorang mangsa runtuhan batu kuari di Keramat Pulai pada 8 Mac lalu masih tidak putus asa untuk menunggu berhampiran lokasi kejadian kerana mahu menjadi orang pertama melihat mangsa diselamatkan.

Bah Kim Bah Kipak, 63, setiap hari memandu Perodua Alza miliknya sejauh 20 kilometer untuk membawa anak perempuannya Wak Uda, 41, dari Kampung Orang Asli Ulu Jelintoh, Gopeng kerana mahu melihat perkembangan operasi menyelamatkan menantunya itu, Itam Bah Lasoh, 43.

"Saya akan rasa puas hati dapat tengok sendiri pasukan bomba yang sedang mengesan menantu saya. Kami sekeluarga sayang Itam kerana dia menantu yang baik. Dia tidak benarkan saya bekerja sebaliknya dia bersusah payah mencari rezeki untuk menanggung keluarga.

"Jadi, saya ke sini (lokasi kejadian) setiap hari kerana mahu menjadi orang pertama melihat jika dia berjaya dikeluarkan dari runtuhan nanti," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, pada Rabu.

Bah Kim
Bah Kim

Mengenang menantunya itu menurut Bah Kim, hasrat mereka berpindah ke rumah baharu yang sedang dibina di kampung nampaknya tergendala selepas Itam terlibat dalam kejadian itu di Jalan Simpang Pulai- Cameron Highlands.

"Rumah yang dibina hasil pemberian wang oleh Itam tahun lalu baru siap separuh. Saya bina sedikit demi sedikit tanpa upah orang kerana mahu berjimat. Mengikut perancangan, Itam akan bawa kami tinggal bersama selepas rumah itu siap.

"Banyak kerja perlu dibuat namun tidak sangka dia terlibat dalam kejadian ini. Saya pula tidak mampu untuk siapkan rumah itu kerana tiada sumber pendapatan. Selama ini segala-segalanya Itam yang tanggung," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Wak Uda masih mengharapkan suaminya itu berjaya ditemui walau dalam apa jua keadaan.

"Saya mahu lihat dia dengan mata saya sendiri dan tidak mahu tunggu di rumah sahaja," katanya.

Wak Uda
Wak Uda

Menurut Wak Uda, empat anaknya berusia dari dua hingga 15 tahun sentiasa menanti berita mengenai bapa mereka setiap kali dia pulang ke rumah.

"Saya perlu tabah hadapi semua ini dan perlu reda demi anak-anak," katanya.