Penoreh getah diperdaya sindiket pinjaman tidak wujud

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

JEMPOL - Seorang penoreh getah berputih mata apabila wang sebanyak RM3,180 yang 'dilaburkan' untuk membuat pinjaman lesap selepas diperdaya sindiket pinjaman wang tidak wujud di media sosial.

Wanita berusia 36 tahun dari Kampung Sungai Raya, Rompin, Jempol itu hanya sedar ditipu selepas diminta membayar lagi RM1,000 untuk urusan pinjaman berkenaan.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, wanita terbabit berhasrat membuat pinjaman selepas terlihat iklan pinjaman mudah di laman sesawang.

"Mangsa yang berminat dengan skim pinjaman ditawarkan berhubung dengan seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai Leong Chun Weng melalui aplikasi WhatsApp.

"Mangsa telah diminta untuk membuat pembayaran bagi pelbagai urusan dan telah membuat pemindahan wang sebanyak tiga kali ke satu akaun bank dengan nilai keseluruhan sebanyak RM3,180," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, selepas pembayaran dibuat, mangsa dijanjikan pinjaman sebanyak RM5,000 tetapi suspek meminta RM1,000 lagi untuk urusan pinjaman tersebut.

Beliau berkata, mangsa yang curiga meminta untuk membatalkan permohonan pinjaman tetapi permintaannya tidak dilayan dan panggilannya telah disekat.

"Mangsa yang rasa ditipu telah membuat laporan polis dan semakan mendapati akaun diberi suspek telah ada rekod yang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel Berkaitan: