Pendengaran PM, kerajaan batal saman Pulau Batu Puteh pada 21 Jun

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa menetapkan 21 Jun depan bagi mendengar permohonan Perdana Menteri dan kerajaan Malaysia untuk membatalkan saman difailkan seorang individu berhubung penarikan balik semakan semula keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di Hague, Belanda berkaitan tuntutan Pulau Batu Puteh.

Perkara itu dimaklumkan Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly yang mewakili Perdana Menteri dan kerajaan Malaysia selaku defendan ketika dihubungi pemberita.

"Pada pengurusan kes hari ini secara dalam talian di hadapan Penolong Pendaftar Haslinda A Raof, mahkamah juga mengarahkan plaintif (Mohd Hatta Sanuri) dan defendan memfailkan hujahan pada 25 April dan hujahan balasan jika ada pada 9 Mei,” katanya.

Perdana Menteri dan kerajaan Malaysia memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi pada 28 Februari lalu untuk membatalkan saman yang difailkan seorang individu berhubung penarikan balik semakan semula keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di Hague, Belanda berkaitan tuntutan Pulau Batu Puteh.

Pada 2018, Kerajaan Pakatan Harapan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menarik balik permohonan semakan terhadap keputusan ICJ sebelum kes itu dijadualkan didengar pada 11 Jun 2018.

Pada 28 Mei tahun lepas, Mohd Hatta, 46, memfailkan tindakan saman itu mewakili dirinya dan lebih 32 juta rakyat Malaysia yang terkesan dengan penarikan balik semakan semula keputusan ICJ oleh kedua-dua defendan tanpa membincangkan dan membentangkannya terlebih dahulu di Parlimen.

Pernyataan tuntutan Mohd Hatta memohon perintah supaya kedua-dua defendan memberi penjelasan bertulis mengapa mereka menarik diri daripada semakan semula keputusan ICJ dengan tuntutan Pulau Batu Puteh terhadap Singapura pada 1 Jun 2018 sedangkan ia telah dimulakan dan difailkan sejak 3 Februari 2017.

Beliau turut memohon deklarasi bahawa kedua-dua defendan membayar ganti rugi kepada setiap rakyat Malaysia berdasarkan nilai tanah Pulau Batu Puteh dan berdasarkan kerugian ekonomi yang dialami seluruh rakyat Malaysia termasuk plaintif secara sama rata berjumlah paling kurang RM10 juta.

Artikel Berkaitan:

Turut dimohon perintah supaya kedua-dua defendan mendedahkan secara terperinci jumlah semua kos yang telah dibelanjakan oleh kerajaan untuk persediaan permohonan semakan semula keputusan ICJ pada 3 Februari 2017 sehingga tarikh mereka menarik diri secara tiba-tiba pada 1 Jun 2018. -Bernama