Ahli sindiket tipu tawaran pekerjaan ditahan

Antara peralatan yang disyaki digunakan sindiket penipuan tawaran pekerjaan.
Antara peralatan yang disyaki digunakan sindiket penipuan tawaran pekerjaan.
A
A
A

KAJANG - Polis memberkas tujuh individu yang disyaki terlibat dengan sindiket penipuan tawaran pekerjaan dalam serbuan di sebuah unit kondominium di sini pada Isnin

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, kesemua suspek berusia 23 hingga 34 tahun itu ditahan pada jam 3.45 petang.

Mohd Zaid memberitahu, unit kondominium itu disyaki sebagai sebagai pusat panggilan secara dalam talian sindiket itu sejak seminggu lalu untuk aktiviti penipuan yang menyasarkan mangsa di Indonesia menggunakan platform e-dagang.

"Kita turut merampas 20 unit telefon bimbit pelbagai jenis dan tujuh unit komputer riba yang disyaki digunakan untuk melakukan jenayah itu," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurut beliau, kesemua suspek itu direman selama tiga hari bermula Selasa hingga Khamis bagi membantu siasatan lanjut.

Mohd Zaid turut menasihati orang ramai agar berwaspada dengan sindiket penipuan dalam talian agar tidak terpedaya dengan tipu helah tersebut.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan 'calling centre' itu boleh menghubungi talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di talian 03-89114242," katanya.

Artikel Berkaitan: