Rakaman pesta mewah Jho Low dipapar dalam prosiding 1MDB

Najib (tengah) hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Isnin untuk perbicaraan kes yang dihadapinya berhubung dana 1MDB. - Foto Bernama
Najib (tengah) hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Isnin untuk perbicaraan kes yang dihadapinya berhubung dana 1MDB. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rakaman video memaparkan pesta arak anjuran ahli perniagaan kontroversi Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low membabitkan perbelanjaan jutaan dolar AS, dipaparkan di Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin.

Peguam, Tan Sri Muhamad Shafee Abdullah yang mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak, mengemukakan rakaman itu ketika prosiding perbicaraan penyelewengan dana RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi bekas Perdana Menteri itu di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Video itu memaparkan pesta mewah yang diadakan di sebuah kelab malam di St Tropez, Perancis dan ia dihadiri selebriti terkenal Hollywood.

Ketika sesi soal balas saksi pendakwaan ke-12, bekas Ketua Pegawai Kewangan, Azmi Tahir, Muhammad Shafee turut mempersoalkan tindakan Lembaga Pengarah 1MDB seakan tidak bimbang dengan sikap Jho Low, yang gemar berbelanja umpama ‘tidak ingat dunia’.

Muhamad Shafee: Ia sepatutnya menimbulkan kegusaran syarikat kerana tindakan Jho Low boleh menyebabkan kehancuran 1MDB.

Azmi: Itu hal peribadi dia, gaya hidupnya tiada kaitan dengan syarikat.

Muhamad Shafee: Tiada rasa curiga atau bimbang?

Azmi: Masa itu, saya tidak curiga, kalau dia ada wang, dia boleh hidup mewah dan lembaga pengarah tidak mempersoalkannya.

Artikel Berkaitan:

Muhamad Shafee: Setuju dengan saya, pihak pengurusan tidak membangkitkan perbelanjaan Jho low atau memaklumkan kepada lembaga pengarah kerana anda menerima rasuah daripadanya.

Azmi: Tidak setuju

Muhammad Shafee: Jho Low tidak akan hidup mewah jika anda tak luluskan transaksi pembayaran AS$790 juta daripada 1MDB Energy Langat Limited kepada Aabar Investments PJS Ltd (syarikat palsu), setuju dengan saya?

Azmi: Tidak.

Saksi itu juga berkata, tidak mengetahui sama ada wujud atau tidak, urusan selindung lain, namun semua transaksi adalah berdasarkan perjanjian perniagaan.

Najib, 69, menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan jumlah yang sama.

Mahkamah menetapkan Selasa bagi pengurusan kes itu bagi menentukan tarikh perbicaraan akan datang.