Rodgers akui kecewa keputusan VAR

Brendan Rodgers - Foto Clacton Gazzette
Brendan Rodgers - Foto Clacton Gazzette
A
A
A

PENGENDALI Leicester City, Brendan Rodgers menegaskan dia sangat kecewa dengan keputusan video pembantu pengadil (VAR) yang memberikan sepakan penalti sekali gus memberikan gol kedua kepada Arsenal pada aksi Liga Perdana Inggeris di Emirates, pada Isnin.

Menurut Rodgers, keputusan memberikan sepakan penalti berkenaan telah melunturkan semangat pemain The Foxes sehingga ke penghujung perlawanan.

“Saya kecewa dengan keputusan pengadil yang memberikan sepakan penalti kepada Arsenal, apatah lagi setelah dirujuk kepada VAR.

“Bola sebenarnya terkena tangan pemain kami secara tidak sengaja (ball to hand), tetapi ia tetap dikatakan sebagai satu kesalahan.

“Bagaimanapun, keputusan telah dibuat dan perlawanan sudah berakhir. Tiada apa yang dapat kami lakukan lagi,” katanya.

Pada perlawanan berkenaan, pemain Arsenal, Thomas Partey membuka jaringan pada minit ke-11 sebelum Alexandre Lacazette menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-59 bagi melengkapkan kemenangan.

Mengulas lanjut, Rodgers berharap kekalahan itu dijadikan sebagai satu pengajaran kepada pemain bagi mengharungi perlawanan akan datang.

Malah katanya, kekalahan itu juga mengajar pemain untuk beraksi lebih serius dan tidak ‘terlalu selesa’ ketika mengawal bola.

Artikel Berkaitan:

“Kami bermula dengan agak baik, tetapi pintu gol kami dibolosi pada minit ke-11 dan pada minit ke-59 oleh pihak lawan.

“Selain itu penjaga gol mereka juga dilihat beraksi cemerlang bagi menggagalkan percubaan-percubaan yang dilancarkan.

“Secara keseluruhannya, mereka memang layak untuk menang. Mereka juga berjaya memanfaatkan sebaik-baiknya peluang yang diperoleh,” katanya.