Lagi gempa bumi kuat di barat Sumatera

Tanda bulatan biru menandakan kedudukan gempa bumi di barat Sumatera pada Isnin. - Foto USGS/Stuff
Tanda bulatan biru menandakan kedudukan gempa bumi di barat Sumatera pada Isnin. - Foto USGS/Stuff
A
A
A

JAKARTA - Satu gempa bumi kuat melanda barat Pulau Sumatera di Indonesia awal Isnin menyebabkan penduduk melarikan diri dari rumah mereka tetapi tiada kerosakan atau mangsa dilaporkan berlaku.

Gempa bumi berukuran 6.7 magnitud itu melanda pada jam 4.06 pagi pada kedalaman 21 kilometer dengan pusat gempa ialah 167 kilometer ke barat bandar pantai Pariaman, kata Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).

Pusat gempa berada 197 kilometer dari Padang, ibu kota dan bandar terbesar di wilayah Sumatera Barat.

“Gempa bumi itu dirasai selama seminit pada intensiti sederhana apabila orang ramai panik dan meninggalkan rumah mereka,” kata Lembaga Kebangsaan Untuk Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB).

Gegaran itu diikuti dengan beberapa siri gegaran susulan yang kuat.

Pusat Amaran Tsunami Pasifik pada mulanya menyatakan bahawa gempa bumi itu berpotensi menjana tsunami yang menjejaskan rantau Lautan Hindi tetapi ia kemudian menarik balik amaran itu.

"Berdasarkan laporan terkini, tiada kerosakan dan mangsa tetapi kami meneruskan pemantauan. Gegaran amat dirasai di Pulau Nias Selatan," kata Ketua Pejabat Pejabat Mencari dan Menyelamat Nias, Agus Wibisono.

Selepas ancaman tsunami ditarik balik, penduduk kemudian menjadi tenang, tambahnya. - AFP

Artikel Berkaitan: