Tiga pusat karaoke beroperasi tanpa lesen diserbu

Salah sebuah pusat karaoke diserbu polis kerana beroperasi tanpa lesen sah dari PBT di Manjung. - Foto ihsan PDRM
Salah sebuah pusat karaoke diserbu polis kerana beroperasi tanpa lesen sah dari PBT di Manjung. - Foto ihsan PDRM
A
A
A

LUMUT - Tiga pusat hiburan diserbu selepas didapati beroperasi tanpa lesen menerusi Op Bersepadu Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19 sekitar daerah Manjung di sini pada Sabtu.

Serbuan bermula jam 10 malam itu dilaksanakan sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Majlis Perbandaran Manjung (MPM).

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, premis berkenaan gagal mengemukakan lesen hiburan sah yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Tindakan di bawah Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1997 turut dikenakan terhadap tiga lelaki berusia 20, 52 dan 53 tahun yang bertindak sebagai penjaga premis berkenaan.

"Selain itu, tiga pelanggan berusia 28 hingga 46 tahun turut dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 setiap seorang apabila gagal mengimbas aplikasi MySejahtera ketika berada di premis berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Menurutnya, komponen karaoke seperti unit pemprosesan pusat (CPU), monitor, amplifier, pembesar suara, mikrofon, papan kekunci, televisyen dan bil dirampas untuk tindakan lanjut.

Artikel Berkaitan: