Aktiviti penyeludupan rokok turun enam peratus: Kastam

Abdul Latif (tiga, kiri) mendengar taklimat daripada Ketua Pegawai Eksekutif Megah Port Management Sdn Bhd, Idjal Tahir pada sesi lawatan di Pelabuhan Dermaga Merdeka Labuan pada Ahad. - Foto Bernama
Abdul Latif (tiga, kiri) mendengar taklimat daripada Ketua Pegawai Eksekutif Megah Port Management Sdn Bhd, Idjal Tahir pada sesi lawatan di Pelabuhan Dermaga Merdeka Labuan pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

LABUAN - Aktiviti penyeludupan rokok di pulau-pulau bebas cukai di negara ini menurun sebanyak enam peratus tahun lepas berikutan keputusan kerajaan mengenakan duti eksais ke atas rokok dan produk tembakau bermula Januari 2021.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata, pelaksanaan duti eksais itu memberi kesan kepada penyeludupan rokok bagaimanapun, masih belum dapat dipastikan sama ada impaknya itu dapat dikekalkan atau tidak.

"Kami akan terus memantau (pelaksanaan duti eksais ke atas rokok dan produk tembakau) sama ada ia berkesan atau tidak.

"Penggiat industri juga boleh memberi cadangan dan pandangan kepada Jabatan Kastam mengenai impak keputusan kerajaan ini,” katanya selepas mengadakan lawatan rasmi ke Pelabuhan Labuan atau Labuan Liberty Wharf di sini pada Ahad.

Abdul Latif berkata, menurut kajian yang dilakukan oleh British American Tobacco (BAT), penyeludupan rokok telah menyebabkan kerajaan menanggung kerugian sehingga RM5.1 bilion dalam cukai rokok setiap tahun, dan angka itu merupakan cabaran buat pihak berkuasa dalam membendung kegiatan haram itu.

Beliau berkata, Jabatan Kastam merekodkan peningkatan kutipan cukai sebanyak 9.9 peratus atau RM42.5 bilion tahun lepas berbanding RM38.67 bilion pada 2020.

"Kami optimis dapat mengutip hasil RM45 bilion tahun ini, ia unjuran kami pada 2022, tetapi ia bergantung kepada situasi ekonomi, dengan semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi...kami pasti dapat mencapai sasaran ini,” katanya.

Terdahulu, beliau diberi taklimat oleh pengendali pelabuhan Labuan, Megah Port Management Sdn Bhd mengenai penambahbaikan kemudahan pelabuhan termasuk penyiapan limbungan kontena konkrit dan projek pagar keselamatan pelabuhan.

Abdul Latif berkata, pelabuhan Labuan perlu meluaskan operasi dan perkhidmatannya bagi menampung sektor berkaitan minyak dan gas di pulau ini.

Artikel Berkaitan:

"Kastam akan membantu apa sahaja transaksi perniagaan yang dikendalikan operator pelabuhan, dan pihak pengendali pelabuhan perlu sentiasa merujuk dengan pegawai kami berkenaan sebarang dasar baharu yang dikuatkuasakan,” katanya. - Bernama