KKM bincang mekanisme untuk pengundi Covid-19

KKM akan mengadakan perbincangan dengan SPR bagi mencari mekanisme terbaik membolehkan pesakit Covid-19 mengundi dalam pilihan raya.
KKM akan mengadakan perbincangan dengan SPR bagi mencari mekanisme terbaik membolehkan pesakit Covid-19 mengundi dalam pilihan raya.
A
A
A

SEREMBAN - Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mencari mekanisme terbaik membolehkan pesakit Covid-19 mengundi dalam pilihan raya.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, perkara tersebut perlu dibincangkan tanpa menafikan hak pengundi yang telah dijangkiti selain tidak memudaratkan individu lain.

"Ya, memang hak mereka untuk mengundi tetapi satu lagi ialah hak rakyat untuk tidak dijangkiti dan tidak dimudaratkan kesihatan mereka. Bagi mengimbangi hak ini, kita kena cari apakah kaedah yang terbaik.

"Memang ada banyak cara cuma saya bangkitkan cabaran yang kami hadapi, kalau mahu buat boleh, mungkin kita perlu duduk berbincang dengan SPR. Kalau dipanggil Pilihan Raya Umum (PRU) pun, akan ada orang positif Covid-19.

"Kita kena fikirkan macam mana kita mahu benarkan untuk mengundi, itu cabarannya dan saya akan berbincang dengan SPR, apakah satu mekanisme yang selama boleh diwujudkan nanti," katanya pada sidang akhbar selepas Program Khidmat Komuniti sempena Sambutan Hari Pembantu Perubatan 2022 di Senawang pada Ahad.

Menurut Khairy, ada pihak yang mencadangkan supaya diwujudkan satu pusat mengundi khas untuk pesakit Covid-19 termasuk ia diadakan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

"Tetapi saya mahu beritahu, 96 peratus daripada kes positif sekarang, mereka duduk di rumah, bukan pergi ke PKRC. Persoalan juga sekarang, kalau wujud pusat pengundian untuk individu positif Covid-19, bagaimana mereka mahu pergi ke pusat pengundian tersebut.

"Kalau mereka boleh bawa kenderaan sendiri tidak mengapa tetapi kalau perlu naik kenderaan orang lain, siapa yang mahu bawa mereka. Dia boleh mudaratkan ahli keluarga dan individu lain," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Khairy berkata, secara keseluruhan pihaknya berpuas hati dengan perjalanan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan telah dipatuhi dengan baik.

"Bagaimanapun, sebanyak 54 kompaun telah dikeluarkan kepada mereka yang betul-betul langgar SOP. Saya telah minta supaya penguat kuasa gunakan budi bicara, sebagai contoh ada satu kompaun yang telah dikeluarkan kepada pemberita yang telah saya batalkan kerana bagi saya ia tidak dapat dielakkan," katanya.