Green tekad pamer aksi terbaik di laman sendiri

Gavin Kyle Green pada sidang media Kejohanan Maybank Saujana Golf and Country Club, semalam. - Foto Bernama
Gavin Kyle Green pada sidang media Kejohanan Maybank Saujana Golf and Country Club, semalam. - Foto Bernama
A
A
A

PEMAIN golf terkemuka Malaysia, Gavin Kyle Green percaya beliau mampu menampilkan aksi cemerlang di laman sendiri pada Kejohanan Golf Maybank 2019 bermula esok.

Green berkata beraksi di tempat sendiri pada kejohanan edisi keempat itu memberi peluang kepada beliau mempamerkan kemampuan sebenar sesuai dengan statusnya selaku pemain golf nombor satu negara.

“Ia sesuatu yang besar bagi saya, dan saya sangat teruja beraksi di hadapan penonton tempatan. Saya sebenarnya tidak mendapat banyak peluang seperti ini kerana pada masa kini saya lebih banyak beraksi di Eropah.

"Maybank telah membantu saya selama ini dan saya sudah bersama mereka sejak beberapa tahun lepas. Ia sesuatu yang bagus jika dapat beraksi dengan cemerlang dan menamatkan saingan di kedudukan lebih baik,” katanya pada sidang media di venue kejohanan di Saujana Golf and Country Club, di sini semalam.

Green yang sering beraksi di kejohanan luar terutama di Eropah sejak meraih gelaran Order of Merit Jelajah Asia 2017, akan bersaing buat pertama kali di laman sendiri sejak hampir setahun lepas.

Penampilan terakhir beliau di laman sendiri adalah pada Kejohanan Maybank tahun lepas apabila beliau menamatkan saingan dengan berkongsi di tempat ke-39, dan beliau berazam dapat memperbaiki kedudukannya di hadapan penonton tempatan minggu ini.

“Saya berada dalam keadaan baik, dan saya bermain dengan baik sejak beberapa minggu lepas. Sebelum ini saya berdepan beberapa masalah yang menjejaskan keseluruhan rentak permainan saya, tetapi setakat ini saya dapat menanganinya.

“Saya mendapat tunjuk ajar daripada jurulatih selama beberapa hari ini dan teruskan berusaha agar saya benar-benar bersedia pada kejohanan kali ini,” kata Green.

Artikel Berkaitan:

Biarpun keadaan cuaca panas pada masa kini, Green mengambil cabaran itu secara positif.

“Jelas sekali, kita semua akan berdepan cuaca panas, keadaan sekarang lebih panas berbanding daripada biasa. Saya fikir sesuatu yang menyeronokkan minggu ini. Peminat juga bagus minggu ini dan keadaan lapangan golf juga bagus. Saya berharap cuaca baik dan kita dapat menampilkan aksi terbaik.

“Padang golf sudah semestinya baik minggu ini. Selepas tahun lepas, mereka membuat pengubahsuaian dan ini kali pertama mereka membukanya kembali sejak perubahan itu dilakukan,” katanya. - Bernama