Maszlee berlapang dada tewas di DUN Layang-Layang

Maszlee Malik
Maszlee Malik
A
A
A

SHAH ALAM - Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang, Dr Maszlee Malik menerima kekalahannya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini dengan hati yang terbuka.

Bekas Menteri Pendidikan itu beranggapan kalah menang adalah adat pertandingan dan dirinya akur dengan pilihan rakyat.

“Apapun keputusannya, kita hormati dan terima dengan hati yang terbuka. Saya masih lagi Ahli Parlimen Simpang Renggam tetap komited memberikan perkhidmatan yang terbaik dan terus memberi sumbangan kepada masyarakat di sini,” katanya dalam sesi siaran langsung berkenaan PRN Johor di laman Facebooknya pada Sabtu.

Beliau berkata, peratusan keluar mengundi yang agak rendah, bukan sahaja di DUN Layang-Layang, malah di seluruh Johor menjejaskan peratusan pengundian yang telah diberikan kepada Pakatan Harapan (PH) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Berdasarkan peratusan mengundi mereka yang sebelum ini mengundi kita, dalam PRN kali ini, mungkin (mereka) tidak pulang, mungkin berada di Singapura dan tidak dapat masuk dan ada juga yang bimbang terhadap gejala (Covid-19) yang melanda.

“Jadi, kita hormati keputusan yang mereka buat kerana setiap orang mempunyai alasannya. Kita tahu melakukan pilihan raya di waktu Covid-19 ini amat mencabar dan setiap orang mempunyai kerisauan mereka sendiri, yang perlu dihormati.

“Untuk yang mengundi buat kali pertama, insya-ALLAH selepas ini kita akan berikan perhatian kepada mereka yang mana pola pengundian mereka juga agak sukar dijangka.

“Bagaimanapun, insya-ALLAH dengan kesedaran sivik secara berterusan, mereka (dapat) memahami peri pentingnya penglibatan dalam pilihan raya dan untuk memberikan undi agar pada masa hadapan mereka boleh keluar mengundi dan berikan pilihan yang terbaik,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Calon Barisan Nasional (BN), Abd Mutalip Abd Rahim menewaskan Maszlee dalam perebutan untuk mendapatkan kerusi DUN Layang-Layang dengan majoriti 2,815 undi.