Bekas pemain hoki kebangsaan meninggal dunia

Sivabalan
Sivabalan
A
A
A

BEKAS pemain hoki kebangsaan S Sivabalan meninggal dunia ketika menyertai satu pertandingan hoki di Bandar Siber, Simpang Pulai dekat Ipoh, pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, hasil maklumat yang diterima daripada saksi kejadian yang merupakan anak saudara mangsa, Sivabalan dilaporkan tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri semasa berhenti rehat pada pukul 3.30 petang.

"Setelah perlawanan masa pertama tamat, mangsa bersama anak saudaranya berehat di tepi tembok padang tersebut dan kemudiannya mangsa tiba-tiba rebah di tempat itu," katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Yahaya berkata, mangsa yang berusia 59 tahun telah disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan Hospital Raja Permaisuri Bainun dan hasil pemeriksaan yang dilakukan ke atas tubuh badan mangsa tidak menjumpai sebarang kesan jenayah pada tubuh mangsa.

Katanya, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik HRPB di sini untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

Sivabalan pernah mewakili skuad hoki kebangsaan pada era 80-an dan turut bermain untuk pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang pada era 90-an dikenali sebagai Kelab Kilat.

Artikel Berkaitan: