Keputusan PRN Johor tentukan hala tuju Pas

Mohd Khairuddin
Mohd Khairuddin
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang berlangsung pada Sabtu menjadi penentu hala tuju Pas menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Perkara itu dinyatakan bekas Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

"Apa sahaja keputusan yang terhasil hari ini akan memberi kesan kepada hala tuju parti.

"Itu kita perlu tunggu dan lihat dahulu apa jua keputusannya pada malam ini. Insya-ALLAH," katanya ringkas.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Nadwah Ilmuan Islam di sini, pada Sabtu.

Sementara itu, Khairuddin menyifatkan kenyataan pemimpin Barisan Nasional (BN) bahawa mereka yang memilih Pas akan mundur adalah pandangan retorik semata-mata.

"Tak perlu ambil 'port'. Yang penting setiap parti kemukakan manifesto apa yang dibuat kepada rakyat dan dihidangkan kepada mereka ketika PRN atau Pilihan Raya Umum (PRU).

"Kita tidak perlu termakan dengan provokasi yang dibawa. Setiap parti bawa agenda dan biarlah rakyat menilai," katanya.

Artikel Berkaitan:

Khairuddin berkata, beliau menekankan budaya politik matang dan sejahtera terhadap semua ahli politik bukan tertakluk kepada Pas semata-mata.

Katanya, Pas pada 2016 telah memutuskan bahawa Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) adalah dasar yang dibawa parti.

Justeru, katanya, beliau sebagai ahli parti terikat dengan dasar parti ke mana sahaja beliau pergi atau posisi mana pun beliau berada.

"Saya sebagai ahli parti terikat dengan dasar parti ke mana saya pergi dan posisi mana pun saya berada.

"Sama ada berdepan pimpinan atau orang bawahan, ahli biasa ke atau berjawatan dalam Pas, saya mengekalkan dasar tersebut," katanya.

Menurut Khairuddin, budaya politik matang adalah bersandarkan al-Quran antaranya menggunakan kata-kata lunak sama ada ketika berdepan dengan saingan atau lawan.

"Biar berbeza politik tetapi dengan cara harmoni tidak menyerang peribadi dan sebagainya," ujarnya.