Selisih faham ketika mabuk punca bakar kereta

Kereta yang rosak dibakar dalam kejadian di Sungai Kapar Indah, Klang pada awal pagi Sabtu.
Kereta yang rosak dibakar dalam kejadian di Sungai Kapar Indah, Klang pada awal pagi Sabtu.
A
A
A

KLANG - Perselisihan faham ketika mabuk hingga mengeluarkan kata-kata kesat dipercayai menjadi punca dua lelaki membakar kereta dan merosakkan motosikal dalam kejadian di sebuah rumah di Sungai Kapar Indah, di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, pihaknya dimaklumkan kejadian terbabit pada jam 5.48 pagi selepas menerima panggilan daripada pengadu yang mendengar bunyi bising di luar rumah.

Menurutnya, siasatan awal mendapati dua lelaki itu bertindak merosakkan dua motosikal dan kereta jenis Proton Wira dengan menggunakan kayu golf.

"Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) juga mendapati dua suspek itu turut bertindak melakukan khianat dengan membakar kereta berkenaan.

"Kejadian itu mengakibatkan kerugian kira-kira RM5,500," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau memberitahu, motif kejadian dipercayai disebabkan perselisihan faham yang berlaku antara anak pengadu dengan suspek ketika mabuk hingga mengeluarkan kata-kata kesat.

Katanya, siasatan masih dijalankan dan polis sedang giat mengesan dua suspek berusia dalam lingkungan 20-an itu.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 435/427 Kanun Keseksaan dan jika sabit salah boleh dipenjara sehingga 14 tahun dan denda," katanya.

Artikel Berkaitan: