BN yakin dapat bentuk kerajaan negeri esok

Hasni Mohammad
Hasni Mohammad
A
A
A

PONTIAN - Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut, Datuk Hasni Mohammad melahirkan keyakinan sebuah kerajaan negeri yang kukuh dan lebih baik dapat dibentuk selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, esok.

Pengerusi BN Johor itu berkata, BN tetap akan menjadi pilihan rakyat Johor selepas kempen dilaksanakan hampir lebih dua minggu di kesemua 56 kawasan DUN.

"Saya yakin dan percaya pengundi sudah buat keputusan untuk memilih siapa calon dan parti mana esok (Sabtu). Saya juga yakin keputusan esok akan berakhir dengan satu pembentukan kerajaan negeri lebih kukuh dan lebih baik daripada kerajaan negeri sebelum ini.

"Untuk itu, kita bersama-sama doakan Johor akan jadi negeri yang maju dan makmur. Insya-ALLAH, BN akan jadi pilihan rakyat dan akan dapat membentuk sebuah kerajaan," katanya ketika ditemui selepas bertemu komuniti penduduk di Kampung Parit Dua, Sanglang di sini pada Jumaat.

Hasni (kanan) bertemu komuniti penduduk di Kampung Parit Dua Sanglang pada petang Jumaat.
Hasni (kanan) bertemu komuniti penduduk di Kampung Parit Dua Sanglang pada petang Jumaat.

Hasni turut menggesa agar pengundi keluar awal ke pusat pembuangan undi selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan seperti memakai pelitup muka.

PRN Johor membabitkan 56 kerusi DUN dengan seramai 239 calon daripada pelbagai parti politik dan individu bertanding.

Seramai 2,574,835 pengundi biasa daripada keseluruhan 2,597,742 pengundi berdaftar layak mengundi.

Artikel Berkaitan:

Daripada jumlah keseluruhan itu, 22,531 orang adalah pengundi awal yang terdiri daripada 10,955 anggota tentera dan pasangan serta 11,576 anggota polis manakala 376 lagi adalah pengundi tidak hadir luar negara.

Tempoh berkempen secara rasminya berakhir pada jam 11.59 malam ini dan hari mengundi ditetapkan pada 12 Mac (Sabtu).


Ikuti perkembangan semasa #PRNJohor dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my