Gergasi Merah tak pandang mudah Harini FT

Michael
Michael
A
A
A

SAINGAN pusingan pertama Piala FA yang akan membuka tirai Jumaat bakal memperlihatkan sebahagian besarnya pertembungan antara pasukan Liga Super, Premier dan pasukan Liga M3.

Biarpun enam perlawanan membabitkan 12 pasukan terpaksa ditunda ekoran terdapat penularan jangkitan Covid-19, kerancakan Piala FA tetap terasa dengan peluang buat pasukan amatur memberikan saingan kepada pasukan-pasukan elit tanah air.

Antara perlawanan menarik yang dijangka berlangsung ialah membabitkan Selangor FC dan Harini FT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Biarpun di atas kertas segala-galanya dijangka memihak kepada Selangor, ketua jurulatihnya, Michael Feichtenbeiner, tidak mahu pemain-pemain memandang rendah akan kemampuan Harini FT.

“Saya pernah menyaksikan persembahan Harini FT yang bertemu Selangor FC 2 selain ada maklumat tentang mereka selepas melalui perlawanan M3.

"Mereka ada pemain yang saya kenali seperti penjaga gol, Farizal Harun kerana dia pernah bermain dengan Selangor semasa di era Satiananthan, dua tahun lalu.

“Kemungkinan saya akan beri ruang kepada pemain-pemain yang belum diturunkan seperti Samuel Somerville untuk beraksi selain lebih banyak ruang kepada pemain tempatan kerana kami boleh turunkan empat sahaja import.

“Harapan saya pemain jangan terlalu yakin kerana sejarah pertandingan Piala FA, ada masanya perlawanan berdepan pasukan yang datang dari liga bawahan, lebih sukar daripada yang dijangka.

Artikel Berkaitan:

“Namun, jika kami berada di tahap sepatutnya pada hari perlawanan dan beri fokus kepada persembahan sendiri selain cuba mendapatkan jaringan awal, kami boleh mara ke pusingan seterusnya,” katanya.

Sementara itu, pertahanan Harini FT, K Reuben, tetap menghormati reputasi Selangor yang diundi menentang pasukannya di pusingan pertama namun menyifatkan mereka sama sekali tidak gentar untuk berikan persaingan.

Baginya, Piala FA sentiasa ada magis tersendiri sambil berasakan peluang untuk Harini melakukan kejutan tetap ada.

“Bila saya tengok undian semalam, saya sebenarnya tersenyum kerana berasakan ini peluang Harini membuktikan sesuatu. Pasukan ini terdiri daripada ramai pejuang dan cerita David and Goliath menjadi inspirasi buat kami apabila berdepan Selangor.

“Sebagai seorang pemain yang telah lama bermain di pentas tertinggi, saya akan cuba bantu sedaya upaya pemain-pemain lain,” katanya.

Selain Reuben, Harini turut diperkuatkan bekas penjaga gol Felda United FC, Negeri Sembilan dan Selangor, Farizal Harun selain bekas pemain PJ City FC, K Satish.

Undian pusingan kelayakan dan pusingan pertama Piala FA berlangsung pada 23 Februari lalu membabitkan penyertaan 34 pasukan termasuk 15 dari M3.

Antara perlawanan yang menarik perhatian ialah antara dua jiran setempat, Penang FC dan Bukit Tambun FC yang berlangsung pada Jumaat selain Johor Darul Ta’zim (JDT) dan BRM FC di Stadium Sultan Ibrahim pada Ahad