Piala FA: Gergasi Merah tekad benam Tok Gajah

Selangor FC mahu menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila berdepan Sri Pahang di Stadium MBPJ pada Sabtu.
Selangor FC mahu menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila berdepan Sri Pahang di Stadium MBPJ pada Sabtu.
A
A
A

SELANGOR FC telah cukup bersedia menanti kunjungan Sri Pahang FC bagi menghadapi aksi pusingan 16 terbaik Piala FA di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya pada Sabtu.

Bagaimanapun, pengendali Selangor, Tan Cheng Hoe mahu kunjungan kali kedua Tok Gajah itu selepas terikat 1-1 aksi Liga Super pada 5 Mac lalu dimanfaatkan pemain-pemain Gergasi Merah.

Tambahnya, pemain tuan rumah juga harus mengambil kesempatan beraksi di laman sendiri meraih kemenangan, sekali gus menyingkirkan Sri Pahang.

“Sudah tentu kami perlu mengambil peluang bermain di tempat sendiri untuk layak ke pusingan seterusnya.

“Tetapi saya percaya, ia bukan tugas mudah kerana rekod Pahang yang diperkuat Kpah Sherman di laman sendiri dan lawan juga bermain baik. Mereka masih kekal dengan rekod tanpa kalah Liga Super.

“Sebelum ini juga kami seri dengan Pahang, jadi saya jangka perlawanan sekali lagi sengit, cuma saya harap pemain dapat mencipta kemenangan kali ini,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Pada masa sama, Cheng Hoe berkata, skuad Gergasi Merah tetap memberikan keutamaan dalam kempen Piala FA yang menjanjikan slot ke pentas Piala AFC.

“Kami tidak menganggap Piala FA sekadar pelengkap jadual. Selangor mempunyai reputasi dan sejarah tersendiri dalam saingan Piala FA sebelum ini,” jelasnya yang akan menurunkan kesebelasan terbaik.

Jika melepasi halangan Sri Pahang, Selangor bakal berdepan pemenang antara Negeri Sembilan FC atau PIB Shah Alam dalam aksi suku akhir.

PIALA FA 2023

PUSINGAN 16 TERBAIK

SABTU (15 APRIL)

Kuching City FC lwn Penang FC

(Stdm Negeri, 9.15 malam)

Sabah FC lwn Kelantan United

(Stdm Likas, 9.15 malam)

Negeri Sembilan lwn PIB Shah Alam

(Stdm Tuanku Abdul Rahman, 10 malam)

Selangor FC lwn Sri Pahang FC

(Stdm Majlis Bandaraya Petaling Jaya, 10 malam)