'Insya-ALLAH, Ramadan tahun ini lebih sempurna'

Gambar hiasan - Foto Bernama
Gambar hiasan - Foto Bernama
A
A
A

ALHAMDULILLAH. Merak Jalanan melafazkan syukur kepada ALLAH SWT kerana atas rahmatnya, Ramadan tahun ini kembali bersinar sebelum era pandemik Covid-19.

Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Selasa lalu yang memansuhkan penjarakan sosial untuk solat jemaah di masjid dan surau, adalah suatu berita amat baik.

Ini bermakna, solat tarawih untuk Ramadan kali ini boleh dilakukan dengan lebih sempurna, kapasiti penuh dan tiada lagi halangan.

Seperti dua Ramadan yang berlalu pergi, Merak Jalanan sendiri banyak tertinggal untuk solat tarawih di surau kerana terhalang dek SOP.

Insya-ALLAH Ramadan tahun ini, umat Islam termasuk Merak Jalanan sendiri tiada lagi alasan untuk ‘ponteng’ solat tarawih di surau atau masjid.

Tiada lagi istilah siapa cepat, dia dapat solat. Semua orang boleh solat jemaah rapat-rapat.Tahun ini juga kita boleh kembali menyambut ketibaan Ramadan dengan normal. Suasana yang kita rindui sejak lebih dua tahun lalu.

Aktiviti mengimarahkan masjid boleh dilakukan sepanjang waktu dalam 30 hari Ramadan itu tanpa perlu berdepan dengan SOP ketat lagi.

Majlis berbuka puasa juga sudah boleh dibuat sama ada bersama saudara, rakan taulan atau masyarakat sekeliling.

Artikel Berkaitan:

Pemansuhan itu juga bermakna kita semakin hampir melangkah ke fasa endemik, di mana Covid-19 bukan lagi satu ancaman kesihatan serius. Virus berkenaan akan jadi sama macam virus-virus lain seperti selesema, batuk dan demam biasa.Namun Merak Jalanan pun tetap mahu berikan nasihat kepada kawan-kawan. Kita tetap kena jaga SOP lain seperti pakai pelitup muka, kerap basuh tangan dan sentiasa amalkan kawalan kesihatan kendiri.

Ini kerana kita masih belum menang sepenuhnya. Virus Omicron masih bermaharajalela dalam komuniti kita. Tetap jaga kesihatan diri sendiri, keluarga dan orang tersayang di sekeliling kita.