Kuantan catat kes tertinggi pembakaran terbuka

Nor Hisham Mohammad
Nor Hisham Mohammad
A
A
A

KUANTAN- Jumlah hari tanpa hujan yang berpanjangan kini mengakibatkan peningkatan mendadak kes kebakaran terbuka di negeri ini.

Pengarah JBPM Pahang, Nor Hisham Mohammad berkata pihaknya telah menerima sebanyak 34 kes bagi kebakaran terbuka sehingga 19 Mac lalu.

"Merujuk kepada data panggilan terbuka yang telah direkodkan, Kuantan telah menerima aduan tertinggi iaitu sebanyak 14 kes diikuti Temerloh dan Pekan masing-masing sebanyak 6 kes.

"Manakala daerah Bera dan Raub masing-masing 2 kes diikuti Rompin, Jerantut, Bentong dan Cameron Highland masing-masing 1 kes," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Selain itu, Nor Hisham berkata, berdasarkan bacaan terkini IPU di laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS), kawasan Rompin dan Balok Baru Kuantan di Pahang masing-masing mencatatkan bacaan IPU tertinggi iaitu 190 dan 159 sehingga jam 11 malam (semalam) dan dikategorikan tidak sihat.

"Untuk makluman, bagi bacaan IPU 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, antara 51 dan 100 (sederhana), antara 101 dan 200 (tidak sihat), antara 201 dan 300 (amat tidak sihat) dan lebih 301 (berbahaya).

"Sementara itu, berdasarkan laporan oleh Agensi Remote Sensing Malaysia semalam, terdapat empat (4) titik panas (hotspot) yang dikesan di daerah Kuantan, Pekan dan Rompin melalui imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA)," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka ketika musim panas yang berisiko merebak menjadi api yang besar.

Artikel Berkaitan:

"Jika orang awam melihat ada berlaku kebakaran segera melaporkan ke talian 999 bagi pihak bomba memadamkan kebakaran tersebut.

"Saya juga ingin menasihatkan orang awam agar menggunakan penutup hidung dan mulut apabila berada di luar rumah sepanjang masa.

"Kita harap masyarakat mengurangkan aktiviti luar dan tidak beriadah mahupun sukan dan banyakan minum air di samping menyalakan lampu kenderaan jika jarak penglihatan berkurang,"katanya.