Yakin Real Madrid mara lebih jauh

Ancelotti meraikan kejayaan Benzema meledak hattrik bagi membantu kemaraan Real Madrid ke suku akhir Liga Juara-Juara. - foto EPA
Ancelotti meraikan kejayaan Benzema meledak hattrik bagi membantu kemaraan Real Madrid ke suku akhir Liga Juara-Juara. - foto EPA
A
A
A

KEJAYAAN mara ke suku akhir Liga Juara-Juara setelah menewaskan Paris Saint-Germain (PSG), 3-1 pada aksi kedua pusingan kalah mati di Santiago Bernabeu pada Khamis, meyakinkan pengendali Real Madrid, Carlo Ancelotti terhadap peluang skuad kendaliannya itu untuk mara lebih jauh kali ini.

Malah menurut Ancelotti, kemenangan ke atas PSG itu turut menjadikan skuad Los Blancos itu sebagai pasukan pilihan untuk menjulang trofi Liga Juara-Juara musim ini.

“Saya tahu, kini kami adalah pasukan pilihan untuk merangkul trofi Liga Juara-Juara dan sekali gus status itu membuatkan kami lebih yakin untuk berdepan dengan mana-mana pasukan selepas ini.

“Biarpun selepas tewas 0-1 pada aksi pertama kalah mati lalu, semua orang mengatakan peluang kami sudah tertutup, tetapi hari ini (Khamis), ia telah berubah dan kami bermain dengan lebih baik kali ini.

“Tambahan pula kami turut menunjukkan karakter selain turut dibantu dengan sedikit tuah bagi memastikan kemaraan ke suku akhir kelak,” katanya.

Untuk rekod, pada aksi kalah mati pertama di Parc des Princes 16 Februari lalu, Real Madrid tumpas 0-1 kepada PSG.

Bagaimanapun kali ini, penyerang tonggak Real Madrid, Karim Benzema muncul wira apabila meledak hatrik bagi membantu kemaraan Los Blancos ke suku akhir.

Sementara itu Ancelotti mendedahkan dia kagum dengan aksi yang dipamerkan Karim Benzema serta Luka Modric pada perlawanan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Malah katanya, mungkin tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa aksi cemerlang kedua-dua pemain tonggak berkenaan menjadi faktor utama yang mendorong kepada kemenangan pasukan kali ni.

“Bagi saya, kedua-dua pemain ini mempamerkan permainan yang mantap dari sehari ke sehari.

“Sebagai contoh, biarpun baru pulih daripada kecederaan, namun Benzema tetap mempamerkan aksi bertenaga. Begitu juga Modric walaupun kali ini dia tidak berada di posisi kegemarannya,” ujar Ancelotti.