MSC dapat sokongan KBS

AHMAD FAIZAL
AHMAD FAIZAL
A
A
A

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) memberikan 'restu' kepada Konfederasi Sepak Takraw Malaysia (MSC) menjadi ahli gabungan Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF).

Menerusi surat yang ditujukan kepada Presiden MSC, Datuk Suhaili Abdul Rahman bertarikh 28 Februari lalu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memaklumkan KBS tiada halangan untuk MSC memohon bagi menjadi ahli gabungan ASTAF.

“KBS amat mengambil berat mengenai pembangunan sukan sepak takraw khususnya penglibatan Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Sebarang usaha bagi memastikan kecemerlangan dan kelangsungan sukan sepak takraw di peringkat tertinggi memerlukan representasi dengan tadbir urus berintegriti dan profesional,” kata Ahmad Faizal dalam surat itu.

Sementara itu, Presiden ASTAF, Datuk Abdul Halim Kader memaklumkan antara faktor permohonan MSC untuk menjadi ahli gabungan diluluskan adalah disebabkan surat sokongan daripada KBS dan Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS).

“ASTAF juga ingin tekankan yang MSC turut mengemukakan surat sokongan daripada pihak berkuasa sukan di Malaysia iaitu KBS dan PPS.

“Surat-surat itu mengukuhkan lagi permohonan MSC seperti mana yang dibincangkan oleh Jawatankuasa Eksekutif ASTAF,” jelasnya dalam satu kenyataan.

MSC secara rasmi diterima sebagai ahli gabungan badan induk sepak takraw Asia itu pada Sabtu lalu menerusi satu sijil yang ditandatangani Abdul Halim dan Setiausaha Agung ASTAF, Boonchai Lorhpipat.

Artikel Berkaitan:

Susulan keputusan itu, ASTAF menolak permohonan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) untuk kembali menjadi ahli gabungan badan induk berkenaan.