Persatuan Ragbi Terengganu bantu mangsa banjir

Che Mohd Zulkarnain (kiri) bersama atlet ragbi wanita bergotong royong membersihkan pinggan mangkuk dipenuhi lumpur di kediaman seorang mangsa banjir di Kampung Gunung, Menerong, Hulu Terengganu.
Che Mohd Zulkarnain (kiri) bersama atlet ragbi wanita bergotong royong membersihkan pinggan mangkuk dipenuhi lumpur di kediaman seorang mangsa banjir di Kampung Gunung, Menerong, Hulu Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Persatuan Ragbi Negeri Terengganu (PRNT) mengerakkan 30 pemain ragbi ke lokasi banjir bagi menyampaikan bantuan kepada mangsa di Hulu Terengganu.

Timbalan Yang Dipertua PRNT, Che Mohd Zulkarnain Abdul Wahab berkata, misi melibatkan pemain lelaki dan wanita bersama pengurusan pasukan itu memberi tumpuan kepada bantuan pasca banjir di beberapa kawasan terjejas teruk seperti Kampung Gunung, Menerong.

“Misi tanggungjawab sosial ini sebenarnya bermula sejak seminggu lalu iaitu sewaktu peringkat awal bencana banjir. Selepas banjir surut, kini fokus PRNT beralih untuk membantu kerja-kerja pembersihan dan baik pulih kediaman mangsa.

“Kerja-kerja ini dibuat di Kampung Gunung, Menerong, Hulu Terengganu sebelum kami bergerak ke lokasi seterusnya,” katanya, pada Rabu.

Menurut Che Mohd Zulkarnain, PRNT berbesar hati dapat membantu mangsa yang rata-rata hanya mampu termenung panjang melihat keadaan rumah mereka rosak teruk ditenggelami air selepas pulang dari pusat pemindahan sementara (PPS).

Katanya, lebih menyedihkan ada antara mangsa tidak berdaya untuk melakukan kerja-kerja pembersihan sendirian berikutan kesan banjir yang meninggalkan lumpur tebal serta sampah sarap di kediaman masing-masing.

Menurut Che Mohd Zulkarnain, selain menyumbang tenaga pihaknya turut menyampaikan bantuan yang diterima hasil sumbangan orang ramai terus ke rumah mangsa banjir.

“Bantuan ini mendapat kerjasama perunding kewangan AUF MBZ Consortium, Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman yang menyumbang lima tan keperluan asas dan makanan untuk diagih ke kawasan bencana.

Artikel Berkaitan:

“Sumbangan ini amat bermakna buat masyarakat luar bandar ini yang rata-rata di kalangan mereka terputus punca rezeki malah tidak mempunyai pendapatan tetap berikutan bencana banjir ini,” katanya.

Badan induk sukan ragbi negeri Terengganu merupakan antara aktif turun padang membantu ke lokasi-lokasi bencana bagi menyampaikan bantuan termasuk kepada mangsa kepala air di Kedah pada tahun lalu dan banjir besar di Kelantan pada 2014.