PAFA diberi tempoh 30 hari kemuka rayuan

Laporan Sinar Harian pada Isnin.
Laporan Sinar Harian pada Isnin.
A
A
A

PERSATUAN Bolasepak Perak (PAFA) diberi tempoh 30 hari sekiranya berhasrat mengemukakan rayuan berhubung penggantungan selama enam bulan dikenakan ke atas persatuan tersebut.

Pesuruhjaya Sukan (PJS), Ibrahim Mohd Yusof berkata, tempoh itu bermula dari tarikh notis dikeluarkan, yang dijangka dibuat dalam masa terdekat.

"Berdasarkan perbincangan semalam dengan kedua-dua pihak, mereka bersetuju dengan keputusan yang dibuat. Pertamanya kami akan bagi notis untuk penggantungan, mungkin hari ini.

"Namun, PAFA diberikan hak untuk merayu, tetapi ia perlu dibuat dalam tempoh 30 hari,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat Lembaga Eksekutif Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di Wisma OCM pada Selasa.

Ibrahim pada sidang akhbar di Ipoh pada Isnin, memaklumkan PAFA digantung enam bulan kerana pelanggaran perlembagaan persatuan sewaktu pemecatan keahlian 12 gabungan badan sukan tersebut pada 25 November lepas.

Beliau berkata, penggantungan itu antara lain bagi memberi ruang dan peluang kepada PAFA untuk menubuhkan barisan jawatankuasa baharu dan menyelesaikan kemelut pengurusan bola sepak negeri berkenaan.

Keputusan penggantungan itu dicapai dalam satu mesyuarat pada Isnin, yang dihadiri Ibrahim, Setiausaha Persatuan Bola Sepak Daerah Kerian, Tajul Hasnan mewakili ahli gabungan yang dipecat dan Pemangku Presiden PAFA, Datuk Muhammad Yadzan Mohammad. - Bernama

Artikel Berkaitan: