PN tidak pernah bantu PNK Johor Selatan

Laporan Sinar Harian pada Isnin.
Laporan Sinar Harian pada Isnin.
A
A
A

PASIR GUDANG - Perikatan Nasional (PN) tidak pernah menghulurkan sebarang bantuan kepada Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Johor Selatan semasa menjadi kerajaan sebelum ini.

Pengerusi PNK Johor Selatan, Azli Mohamad Aziz mendakwa, semua bantuan yang diterima pihaknya adalah daripada Barisan Nasional (BN).

"Pihak yang menolong PNK Johor Selatan adalah BN dan bukan PN. Selepas ini, siapa yang menjadi kerajaan mesti mengikut cara seperti BN," katanya ditemui di Jeti Nelayan Kampung Pasirt Gudang Baru di sini pada Isnin.

Sebagai contoh katanya, pada Mac 2018 semasa kerajaan BN memerintah, seramai 1,814 nelayan di kawasan Johor selatan menerima bayaran sagu hati RM3.6 juta daripada Tabung Pembangunan Nelayan (TPN) bagi mengurangkan beban hidup mereka.

Bayaran itu melibatkan nelayan di Tanjung Piai, Johor Bahru, Pulai, Gelang Patah, Pasir Gudang dan Tebrau yang terjejas pendapatan akibat aktiviti pembangunan di pesisir pantai.

"Sebahagian besar nelayan di kawasan Johor Selatan merupakan nelayan pantai serta tradisional yang menggunakan bot atau sampan untuk menjaring ikan, udang dan sebagainya," katanya.

Azli berkata, pembayaran sagu hati itu bukan insentif baharu sebaliknya sudah dilaksanakan sejak empat tahun sebelum itu bagi membantu mereka yang terjejas hasil tangkapan.

Sementara itu katanya, kerajaan negeri sebelum itu membayar saguhati RM3.668 juta kepada 1,834 penerima nelayan, penternak kupang dan ikan sangkar bagi kawasan Johor selatan pada 2017.

Artikel Berkaitan:

Daripada jumlah tersebut katanya, seramai 218 nelayan dan 65 penternak dalam Parlimen Pasir Gudang menerima pembayaran saguhati berkenaan sebanyak RM2,000 setiap seorang secara 'one-off'.


Ikuti perkembangan semasa #PRNJohor dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my