50 peratus pembeli rumah PR1MA golongan muda: Reezal Merican

Reezal Merican. Foto Bernama
Reezal Merican. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Sebanyak 50 peratus atau 17,543 pembeli rumah Projek Perumahan 1Malaysia (PR1MA) di seluruh negara terdiri daripada golongan muda yang berusia 25 hingga 35 tahun setakat Disember tahun lepas.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, pada tahun lepas sahaja sebanyak 34 peratus atau 1,904 pembeli rumah PR1MA terdiri daripada golongan itu.

"Ini sekali gus membuktikan harga tawaran rumah PR1MA menjadi kegemaran anak muda dan mampu dimiliki golongan berkenaan,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri persidangan di Dewan Rakyat, pada Selasa.

Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Bersatu-Sabak Bernam) yang meminta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyatakan kejayaan kementerian dalam menyediakan projek perumahan mampu milik khususnya bagi golongan muda berumur 25 hingga 35 tahun, seterusnya sambutan golongan muda terhadap projek perumahan PR1MA seluruh negara.

Selain itu, Reezal Merican berkata PR1MA juga akan memperkenalkan inisiatif Youth Home Ownership yang menyasarkan peningkatan pemilikan rumah PR1MA dalam kalangan golongan muda iaitu dari 50.3 peratus kepada 70 peratus menjelang hujung tahun ini.

Katanya, kementerian juga sedang merancang untuk menyediakan Rumah Transit Belia (RTB) di beberapa lokasi di Lembah Klang susulan harga rumah dan kadar sewa adalah tinggi di kawasan itu bagi membantu golongan muda memiliki rumah.

"Sebanyak dua projek RTB dicadangkan di Mukim Batu, Kuala Lumpur dan satu projek di Rawang, Selangor. Bagi projek RTB Mukim Batu, Kuala Lumpur akan dibangunkan sebanyak 1,400 unit dan bagi RTB Rawang, Selangor sebanyak 3,000 unit akan dibina.

"Agenda besar Kementerian Perumahan dan Kajian Tempatan (KPKT) mengenai perumahan akan memberi fokus kepada konsep ‘5K’ iaitu ketersediaan, kemampuan, kemudahan pembiayaan, kualiti dan kediaman berdaya huni. Saya yakin, inilah juga yang menjadi hasrat dan keinginan generasi muda di Malaysia secara keseluruhannya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menjawab soalan tambahan Fasiah mengenai cadangan penubuhan tabung negara dan setakat manakah pemaju perumahan PR1MA dapat menyediakan infrastruktur seperti teknologi internet serta kemudahan parkir, Reezal Merican berkata kesemua kemudahan diambil kira mengikut konsep ‘5K’.

"Berkenaan cadangan tabung perumahan negara, ini adalah satu perkara yang saya sedang teliti dan ‘panel of experts’ yang ditubuhkan di bawah KPKT, kita akan wujudkan satu cadangan model baharu supaya kita dapat angkat (cadangan ini), agar dapat meyakinkan seterusnya diluluskan oleh Bank Negara dan Kementerian Kewangan.

"Perumahan mampu milik yang disediakan oleh PR1MA sekarang ini, semuanya dibekalkan gentian optik setiap unitdan ini menjadikan rumah itu mempunyai kelengkapan internet secara tersedia. Kita tidak mahu lihat rumah-rumah kepada B40 ini tahap daya huninya berada di tahap yang rendah,” katanya.

Menjawab soalan Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) mengenai peruntukan dari kerajaan untuk melaksanakan RTB seterusnya diperluaskan ke Pulau Pinang dan Johor Bahru bagi tahun ini, Reezal berkata terdapat perancangan yang sudah diatur bagi memperluaskan usaha itu.

"Pada waktu ini, seperti yang disebut memang RTB ini ada di kawasan Lembah Klang, namun RTB ini juga sudah mula diadakan di negeri-negeri lain, di Johor sebagai contohnya. Jadi memang kita lihat secara keseluruhan agenda penyediaan rumah ini,” katanya.- Bernama