Kerajaan stabil mampu selesai rancangan pembangunan tertangguh

Fauziah (depan, dua dari kiri) ketika menyantuni pengundi di Tanjung Buai pada Isnin.
Fauziah (depan, dua dari kiri) ketika menyantuni pengundi di Tanjung Buai pada Isnin.
A
A
A

PENGERANG - Pembentukan kerajaan yang stabil oleh Barisan Nasional (BN) sekiranya memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor membolehkan parti itu menyelesaikan beberapa rancangan yang tertangguh termasuk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Penawar.

Fauziah
Fauziah

Calon BN bagi kerusi DUN Penawar, Fauziah Misri berkata, antara yang diberi penekanan ialah isu pembinaan rumah generasi kedua Felda dan pembangunan industri pelancongan khususnya di bawah DUN tersebut.

“Kalau dalam DUN Penawar ini, pertamanya memang sudah pastinya masalah perumahan generasi kedua Felda. Keduanya adalah tempat pelancongan seperti Desaru khususnya.

"Saya yakin kerajaan ketika ini sedang membuat perancangan terbaik bagi menyelesaikan masalah tersebut termasuk isu berkaitan pembiayaan pembinaan kediaman berkenaan," katanya ketika ditemui semasa berkempen di Tanjung Buai di sini pada Isnin

Dalam pada itu, Fauziah berkata, kawasan Kampung Sungai Layau dan Tanjung Buai yang terletak di muara Sungai Lebam, Johor berpotensi untuk dimajukan sekiranya diberikan promosi yang mencukupi.

"Terdapat beberapa produk tarikan pelancongan yang terdapat di situ antaranya rumah rakit bagi tujuan penginapan dan aktiviti memancing; restoran mi bandung dan penyediaan makanan laut segar termasuk belangkas.

"Di Sungai Layau pula, selain rumah rakit dan makanan laut, di sini mempunyai produk kraftangan yang begitu cantik dan menarik perhatian pelancong,” ujarnya.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini, Fauziah akan bersaing dengan Mohd Faizal Asmar daripada PN, Rahmattullah Kamilin (Pejuang) dan Rosman Tahir (PKR) bagi merebut kerusi DUN Penawar.

Artikel Berkaitan:


Ikuti perkembangan semasa #PRNJohor dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my