Keputusan ke MRSM boleh disemak mulai Rabu

Mahdzir
Mahdzir
A
A
A

SHAH ALAM - Calon-calon bagi kemasukan ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tingkatan Satu dan Empat sesi 2022 boleh membuat semakan tawaran bermula Rabu ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, Majlis Amanah Rakyat (Mara) kekal dengan dasar 60 peratus pengambilan pelajar daripada keluarga B40 selain keutamaan kepada calon luar bandar dan miskin bandar.

“Calon yang berjaya ditawarkan ke MRSM akan menerima notifikasi menerusi Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) atau emel yang telah didaftarkan semasa permohonan.

“Pemohon juga boleh membuat semakan menerusi portal rasmi Mara di www.mara.gov.my. dan makluman terkini berkenaan tawaran juga boleh didapati melalui media sosial Mara seperti Facebook, Twitter dan Instagram,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, calon yang berjaya perlu membuat pengesahan penerimaan tawaran kemasukan ke MRSM dalam tempoh tujuh hari menerusi pautan dalam portal berkenaan.

Jelasnya, sekiranya calon tidak membuat pengesahan penerimaan dalam tempoh tersebut, tawaran berkenaan dianggap terbatal.

"Calon yang tidak berjaya masih boleh membuat rayuan secara dalam talian di pautan yang sama bermula 9 hingga 16 Mac 2022 dan tidak perlu hadir secara fizikal.

“Sebarang pertukaran program dan penempatan MRSM adalah tidak dibenarkan.

Artikel Berkaitan:

“Sekiranya pemohon tidak menerima sebarang makluman tawaran sehingga 31 Mei 2022, permohonan dianggap tidak berjaya,” ujarnya.

Untuk rekod, Mara tahun ini menerima sebanyak 74,500 permohonan ke MRSM bagi Tingkatan Satu dan Empat dengan kapasiti kemasukan pelajar ke Tingkatan Satu adalah seramai 7,949 pelajar manakala Tingkatan Empat ialah 1,930 pelajar.

MRSM menawarkan enam program iaitu MRSM International General Certificate of Secondary Education (IGCSE), MRSM International Baccalaureate-Middle Year Programme (IB-MYP), MRSM Ulul Albab, MRSM Program Bitara, MRSM Premier dan MRSM Teknikal di bawah Sistem Pendidikan MRSM (SPMRSM).