Datuk didakwa rasuah, tidak isytihar kepentingan sebagai pengarah

Gambar hiasan - Foto 123rf
Gambar hiasan - Foto 123rf
A
A
A

KUALA LUMPUR – Seorang bekas pengerusi Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (LFSA) berpangkat Datuk, mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, atas dua pertuduhan kes rasuah dan tidak mengisytiharkan kepentingannya sebagai pengarah dalam sebuah institusi kewangan Labuan, dua tahun lalu.

Azizan Abd Rahman, 67, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibaca secara berasingan di hadapan Hakim Rozina Ayob dan Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan di hadapan hakim Rozina, tertuduh didakwa telah menggunakan kedudukannya untuk suapan iaitu perlindungan daripada tindakan yang boleh diambil oleh LFSA ke atas syarikat Kensington Trust Labuan Limited yang mana tertuduh adalah pengarah dan pegawai amanah di syarikat itu.

Kesalahan didakwa dilakukan di Pejabat Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan, Tingkat 10, Mercu UEM, KL Sentral di sini pada 17 November 2020.

Ia merupakan satu kesalahan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib mencadangkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin.

“Pendakwaan juga mencadangkan tertuduh dikenakan syarat tambahan iaitu pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, peguam, Shamsul Sulaiman yang mewakili Azizan tidak membantah jumlah ikat jamin yang dicadangkan itu dan memaklumkan anak guamnya tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, hakim Rozina membenarkan tertuduh diikat jamin dengan jumlah dan syarat tambahan tersebut.

Mahkamah kemudian menetapkan 5 April depan untuk sebutan semula kes.

Bagi pertuduhan di hadapan hakim Azura, tertuduh didakwa tidak mengisytiharkan kepentingannya sebagai pengarah dan pegawai amanah di Kensington Trust Labuan Limited yang merupakan sebuah institusi kewangan Labuan kepada Lembaga.

Ia semasa tertuduh mempengerusikan mesyuarat Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan Ke-131 sebagaimana dikehendaki Seksyen 17(1) Akta Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan 1996 (Akta 545) pada tarikh dan lokasi sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17(8) Akta Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan 1996 yang membawa hukuman denda maksimum RM250,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Ahmad Akram memohon kes ini dipindahkan dan dibicarakan bersama dengan kes di hadapan hakim Rozina.

Beliau turut mencadangkan, mahkamah menggunakan pakai ikat jamin sama iaitu RM50,000.

Hakim Azura membenarkan kes itu dipindahkan di hadapan dan dibicarakan bersama serta menetapkan tarikh sama untuk sebutan semula kes.