Isu beg sekolah: Pengumuman KPM disambut baik

Mohd Radzi pada Ahad mengumumkan KPM akan menyediakan kemudahan lokar di sekolah-sekolah rendah secara berfasa bermula tahun ini sebagai penyelesaian jangka panjang berkaitan isu beg pelajar berat. (Gambar kecil: Dr Anuar Ahmad )
Mohd Radzi pada Ahad mengumumkan KPM akan menyediakan kemudahan lokar di sekolah-sekolah rendah secara berfasa bermula tahun ini sebagai penyelesaian jangka panjang berkaitan isu beg pelajar berat. (Gambar kecil: Dr Anuar Ahmad )
A
A
A

SHAH ALAM - Pengumuman Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menyediakan kemudahan lokar di 10,662 kelas di sekolah rendah dua sesi di seluruh negara disambut baik pelbagai pihak.

Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, strategi itu sekurang-kurangnya dapat menyelesaikan isu beg sekolah berat yang dialami murid bagi jangka masa pendek.

"Keputusan pihak KPM menunjukkan suara rakyat khususnya ibu bapa telah diambil perhatian sewajarnya oleh mereka.

"Bagaimanapun, KPM masih perlu lakukan usaha dan tindakan selanjutnya untuk mengurangkan isu beg sekolah berat bagi jangka panjang dengan melakukan semakan kurikulum.

"Ini kerana faktor utama yang menyumbang kepada isu ini adalah bilangan mata pelajaran masih banyak dan silibus padat," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Terdahulu Sinar Harian pada Ahad melaporkan, Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin mengumumkan penyediaan kemudahan lokar di sekolah-sekolah rendah secara berfasa bermula tahun ini sebagai penyelesaian jangka panjang berkaitan isu beg pelajar berat.

Dalam pada itu Anuar berkata, keputusan KPM mengurangkan bilangan waktu mata pelajaran dalam jadual harian merupakan keputusan yang baik dan tepat.

"Dengan arahan KPM yang mengehadkan hanya tiga hingga empat mata pelajaran sahaja setiap hari, bilangan buku teks dan buku latihan yang dibawa oleh murid-murid setiap hari dapat dikurangkan secara signifikan.

Artikel Berkaitan:

"Begitu juga dengan strategi penggunaan buku teks digital, dapat mengehadkan bilangan buku latihan serta penyelarasan pakaian sekolah untuk kelas di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)," katanya.