Pembukaan sempadan mampu pulihkan ekonomi negara

Mustapa (tengah) ketika merasmikan Majlis Pelancaran Program Transformasi Digital Pasar Besar Siti Khadijah, di Kota Bharu pada Ahad.
Mustapa (tengah) ketika merasmikan Majlis Pelancaran Program Transformasi Digital Pasar Besar Siti Khadijah, di Kota Bharu pada Ahad.
A
A
A

KOTA BHARU - Langkah kerajaan untuk membuka semula sempadan negara mampu 'menghidupkan' ekonomi Malaysia yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, bagaimanapun tindakan itu perlu dilakukan dengan sebaik mungkin mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Persiapan mantap ini penting sebelum pengumuman berkait dengan perkara (pembukaan sempadan) itu diambil.

"Apa yang penting golongan peniaga sudah tahu berkait dengan pembukaan sempadan dan mereka boleh membuat persediaan sewajarnya," katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program Transformasi Digital Pasar Besar Siti Khadijah, di sini pada Ahad.

Hadir sama Exco Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan Dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hanifa Ahmad.

Menurutnya, selagi sempadan negara tidak dibuka ia akan merumitkan pemulihan ekonomi negara pada masa hadapan.

Beliau berkata, pembukaan sempadan negara merupakan salah satu syarat proses pemulihan semula ekonomi negara.

Ahli Parlimen Jeli itu berkata, beberapa negara lain seperti Thailand, Kemboja, Indonesia dan Brunei sudah bersetuju dengan cadangan pembukaan sempadan.

Artikel Berkaitan:

"Pengumuman mengenai perkara ini (pembukaan sempadan) mungkin mengambil masa, kerana kita tidak mahu wujudnya situasi beratur panjang (untuk masuk) selain mengekang penularan jangkitan," katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Sabtu mengesahkan bahawa sempadan negara akan dibuka semula tidak lama lagi dan langkah itu membolehkan ahli Keluarga Malaysia yang sudah lama tidak bersua muka dapat pulang terutama ketika Aidilfitri pada Mei depan.