Tarikh pembukaan sempadan diumum PM minggu depan

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

PETALING JAYA - [DIKEMAS KINI] Tarikh pembukaan sempadan negara akan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada minggu depan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, perkara itu juga telah pun dipersetujui kabinet pada Jumaat.

“Insya- ALLAH kalau tiada arah melintang PM akan umum tarikh pembukaan sempadan pada minggu depan. Bukan minggu depan sempadan buka.

“Semalam (Jumaat) kita di kabinet pun sudah bersetuju. Jadi, tinggal PM nak umum tarikh tersebut,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Dialisis kali ke-61 di sebuah hotel di sini pada Sabtu.

Sebelum ini, Majlis Pemulihan Negara (MPN) mengesyorkan agar kerajaan membuka pintu sempadan pada 1 Mac ini, namun Ismail Sabri berkata, ia tidak berlaku kerana Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memerlukan masa untuk meneliti prosedur operasi standard (SOP).

Mengulas lanjut, Khairy Jamaluddin berkata, pengumuman tarikh yang akan diumumkan Perdana Menteri nanti amat penting kepada syarikat-syarikat yang terlibat dengan sektor pelancongan untuk membuat persediaan terbaik sempena pembukaan sempadan negara.

“Pengumuman ini penting kerana memberi sedikit masa kepada syarikat-syarikat penerbangan, imigresen, perhotelan dan semua yang terlibat dalam sektor pelancongan dan sektor pengembaraan membuat persediaan terbaik untuk pembukaan,” katanya.

Artikel Berkaitan: