Doktor rugi lebih RM60,000 ditipu 'pegawai LHDN'

 Zairolnizal Ishak
Zairolnizal Ishak
A
A
A

KOTA MARUDU - Seorang doktor wanita mengalami kerugian lebih RM60,000 selepas diperdaya sindiket Macau Scam pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Zairolnizal Ishak berkata, mangsa berusia 31 itu menerima panggilan daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada jam 1.50 petang.

Menurutnya, lelaki itu memaklumkan nama pengadu dan Mykad miliknya telah digunakan oleh sebuah syarikat dan mempunyai cukai tertunggak selama 15 bulan sebanyak RM228,000 sebelum panggilan disambungkan ke talian yang didakwa Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka dan bercakap dengan Sarjan Vikram serta Inspektor Mohd Sharif.

"Mangsa terkejut apabila dimaklumkan dia terlibat dengan pengubahan wang haram serta penyeludupan dadah.

"Wanita itu kemudian bersetuju memberikan maklumat kad bank dan perbankan dalam talian miliknya untuk tujuan mengenal pasti sama ada dia terlibat atau sebaliknya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Ahad.

Zairolnizal memberitahu, pengadu menyedari ditipu kira-kira jam 5.30 petang selepas mendapati wang wang dalam akaun miliknya telah dipindahkan ke sebuah akaun lain sebanyak RM30,650.

"Kira-kira jam 5.30 petang kemudian, pengadu baru tersedar yang dia telah diperdaya dan terus membuat pemeriksaan pada kesemua akaun bank miliknya sebelum mendapati wang dari salah sebuah akaun telah dipindahkan sebuah lagi akaun lain sebanyak RM30,650.

"Hasil semakan di dalam akaun bank terbabit didapati wang simpanannya sebanyak RM63,950.50 telah dipindahkan ke akaun scammer.

"Kes akan disiasat di bawah Seksyen 430 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel Berkaitan: