Gagal sempurnakan peluang punca West Ham tewas

Moyes. Foto Getty Images
Moyes. Foto Getty Images
A
A
A

KEGAGALAN menyempurnakan peluang di depan pintu gol lawan dilihat menjadi punca kekalahan 0 -1 West Ham kepada Liverpool dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), pada Ahad.

Justeru, pengendali West Ham, David Moyes mahu jentera pasukan memperbaiki kelemahan berkenaan dengan memastikan jaringan gol pada baki perlawanan EPL, kelak.

“Kita agak kurang bernasib baik pada perlawanan ini walaupun mempamerkan kebangkitan pada separuh masa kedua.

“Kalau dilihat, jentera serangan pasukan mengalami kesukaran melepasi benteng pertahanan Liverpool atau berada lebih kerap dalam kotak penalti lawan.

“Kegagalan ini sekali gus dimanfaatkan oleh Liverpool untuk mengatur serangan balas ke pintu gol West Ham bagi menambah jaringan,” katanya.

Untuk rekod, West Ham tewas tipis kepada Liverpool hasil gol tunggal jaringan tonggak serangan The Reds, Sadio Mane pada minit ke-27.

Kekalahan itu menyaksikan West Ham berada pada kedudukan kelima EPL dengan 45 mata setelah mengharungi 28 perlawanan.

Mengulas mengenai tahap kecergasan dua tonggak The Hammers, Declan Rice dan Jarrod Bowen; Moyes menegaskan kedua-dua pemain berkenaan masih dalam proses rawatan.

Artikel Berkaitan:

“Kita difahamkan, Bowen akan melakukan imbasan (scan) di bahagian tumit, manakala Rice pula dilaporkan kurang sihat pada Khamis dan Jumaat.

“Apa pun, diharapkan kedua-dua pemain ini kembali cergas dan mampu beraksi kelak,” katanya.