Pelajar sekolah menengah hadir secara bersemuka mulai 4 April

Mohd Radzi
Mohd Radzi
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menetapkan bahawa pelajar sekolah menengah kecuali sekolah berasrama penuh perlu hadir ke sekolah secara bersemuka mulai 4 April.

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin bagaimanapun berkata, bermula pada 21 Mac, pelajar sekolah menengah akan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) selama dua minggu.

Menurutnya, selepas PdPR selama dua minggu, semua pelajar sekolah menengah akan hadir ke sekolah tanpa penggiliran.

"Ketetapan ini juga termasuk kepada pelajar berkeperluan khas (MBK) di Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan (SMKPK), Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV) dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).

"Pelajar kelas peralihan, Tingkatan Satu hingga Enam, pra universiti, International Baccalaureate Diploma Programme (IBDP) serta kelas peperiksaan antarabangsa yang setara turut hadir secara bersemuka tanpa penggiliran,” katanya menerusi video yang dimuat naik di laman Facebook pada Sabtu.

Mohd Radzi berkata, bagi pelajar Tingkatan Satu yang berjaya memasuki sekolah berasrama sepenuhnya, mereka boleh memilih sama ada menjalani PdPR atau menumpang di sekolah harian yang berdekatan kediaman sehingga tarikh kemasukan sekolah berasrama diumumkan.

Katanya, sekolah swasta berasrama sepenuhnya yang mempunyai kapasiti untuk menguruskan keseluruhan pelajar juga boleh beroperasi sepenuhnya termasuk murid baharu Tingkatan Satu.

“Bagi kolej vokasional, sesi persekolahan akan berlangsung tanpa penggiliran mengikut takwim pengajian akademik masing-masing termasuklah untuk sijil vokasional Malaysia dan diploma vokasional Malaysia.

Artikel Berkaitan:

“Bagi kolej matrikulasi pula, semua pelajar akan hadir tanpa penggiliran. Bagi sistem empat semester yang akan hadir adalah pelajar semester dua dan empat, manakala bagi sistem dua semester yang akan hadir ialah pelajar semester dua.

"Selain itu, bagi Institut Pendidikan Guru (IPG), semua program pengajian akan memulakan kuliah secara bersemuka tanpa penggiliran,” katanya.