‘Kami terima keputusan FAM’

Skuad wanita negara tidak akan beraksi pada Sukan SEA 2021 di Hanoi Mei depan. - Foto FB FAM
Skuad wanita negara tidak akan beraksi pada Sukan SEA 2021 di Hanoi Mei depan. - Foto FB FAM
A
A
A

SKUAD wanita negara akur dengan keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang tidak menghantar mereka beraksi pada Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam Mei depan.

Kapten Harimauwati Malaya, Steffi Sarge Kaur Sergeant Singh berkata, dia dan rakan-rakan sepasukannya memahami keputusan yang telah dibuat badan induk bola sepak Malaysia itu.

“Meskipun kami berjaya menang ketika menentang Palestin dan kalah kepada Thailand dengan persiapan selama 25 hari berbanding mereka yang sudah berlatih berbulan-bulan pada Kelayakan Piala Asia tahun lalu, kami akur dengan keputusan FAM.

“Sebab keputusan ini sebenarnya dibuat bukan dalam tempoh terdekat. Kami difahamkan ia sudah dirancang sejak tahun lalu. Jadi kami terima keputusan yang dibuat FAM itu dengan hati yang terbuka,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Pada Rabu, Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar memberitahu, badan induk bola sepak negara itu tidak akan menghantar skuad bola sepak wanita ke Hanoi.

Bagaimanapun, Saifuddin tidak memberikan sebarang butiran lanjut mengenai sebab FAM tidak menghantar skuad kendalian Jacob Joseph menyertai temasya dwi tahunan itu.

“Saya harap rakan-rakan sepasukan dalam skuad wanita negara dapat melupakan kekecewaan ini dan tidak cepat berputus asa selepas tidak dapat beraksi pada Sukan SEA kali ini. Biar kita fokus kepada Kejohanan AFF.

“Kita ada lagi kejohanan selepas ini yang memerlukan setiap pemain kekal cergas. Jadi saya harap mereka dapat teruskan latihan seperti biasa dan beri yang terbaik pada kejohanan akan datang,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM, Datuk Suraya Yaacob berkata, keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira hakikat bahawa skuad wanita negara belum menampakkan potensi untuk mencabar di pentas serantau ketika ini.

“Maklumat yang kami dapati ialah skuad pilihan seperti Thailand, Vietnam dan Myanmar serta Filipina memiliki kelebihan yang sukar untuk pasukan negara saingi ketika ini.

“Selepas mengambil kira keputusan pasukan negara di edisi 2017 dan 2019 serta berdasarkan prestasi semasa, kami memutuskan tidak bertanding pada edisi Sukan SEA kali ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.